Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembar teruja emas pada penampilan sulung

    NILAI, 22 Ogos – Kembar seiras Muhammad Ameer Ahmad Kamal dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal tidak menyangka mampu menghadiahkan emas buat Malaysia, apatah lagi ia merupakan penampilan sulung mereka di pentas Sukan SEA.

    Kembar berumur 22 tahun itu yang ditemui pemberita selepas pasukan berbasikal Malaysia diumumkan juara, nyata terkejut dan gembira malah mereka yang digalaskan dengan tanggungjawab berat menghabiskan kayuhan sejauh 51 kilometer dalam acara Ujian Masa Berpasukan menyifatkannya sebagai usaha yang berbaloi.

    Selain mereka berdua, skuad berbasikal Malaysia turut dianggotai Nik Mohd Azwan Zulkiflie, 27, dan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, 31, yang bertindak selaku ketua pasukan.

    “Syukur Alhamdulillah, saya dan (Muhammad) Ameen memang terharu dapat menang pingat emas biar pun ini adalah kali pertama kami berlumba di Sukan SEA. Saya berterima kasih kepada Muhammad Fauzan kerana banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada kami sama ada ketika latihan atau perlumbaan tadi.

    Bagi Muhammad Ameen, biarpun mengalami sakit perut tiga hari lepas, semangatnya untuk menghadiahkan pingat untuk kem Malaysia tetap membara.

    Pasukan lumba basikal negara (dari kiri) Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Muhammad Ameen Ahmad Kamal, Muhammad Ameer Ahmad Kamal dan Nik Mohd Azwan Zulkifli bergambar selepas berjaya memenangi pingat emas dalam acara ujian masa berpasukan Sukan Sea 2017. – Bernama

    “Hari ini kesihatan saya baik cuma tiga hari lepas sahaja saya mengalami sedikit sakit perut dan terpaksa menjaga pemakanan,”katanya.

    Mengulas pertandingan hari ini, beliau berkata dirinya disuntik motivasi dan semangat apabila dapat bersama-sama mengayuh bersama abang kembarnya dalam pertandingan itu.

    Muhammad Fauzan berkata pengalamannya selama 16 tahun sebagai pelumba basikal telah banyak membantu pasukan dan dirinya untuk meraih emas pada pertandingan hari ini.

    Dalam acara Ujian Masa Berpasukan Lelaki, pasukan Malaysia meraih emas selepas menggungguli acara sejauh 51 kilometer dengan catatan masa 1 jam 01 minit 37 saat (1:01:37), Perak milik Thailand dengan catatan masa 1 jam 01 minit 56 saat, iaitu perbezaan 18 saat di belakang Malaysia dan Vietnam di tangga ketiga untuk meraih gangsa dengan masa 1 jam 02 minit. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda