Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Kumpulan Kembara Aesthete telah diumumkan sebagai pemenang video terbaik dan juara dalam Program Belia Brunei Berbakti (3D) anjuran Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) dan membawa pulang hadiah wang tunai $500 pada Majlis Penutup Program 3D kelima di Pusat Belia di sini, hari ini.
Manakala itu, tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Kemaritah ke Temburong dengan membawa pulang hadiah $350 manakala itu Kumpulan Explore Tutong menerima $200 selaku pemenang ketiga.
Penyampaian hadiah dan sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.
Program kali ini membawa tema Tourist in our own country yang dipilih bagi meningkatkan pengetahuan dan rasa cinta kepada Negara Brunei Darussalam.
Sepanjang projek berkenaan, KESAN juga mengendalikan dua program iaitu Program Intervensi dan Program Pengurusan Projek untuk membantu peserta.
Penilaian projek dilaksanakan pada 26 April lalu di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang mana objektif projek adalah untuk memberi pendedahan kepada belia mengenai kaedah perancangan dan perlaksanaan projek untuk memperoleh pengalaman yang boleh menyumbang kepada negara.
Selain itu juga bagi menyediakan platform untuk belia yang ingin meningkatkan kemahiran-kemahiran seperti komunikasi, kepimpinan, kaji selidik dan kerja berpasukan di samping membudayakan sikap proaktif dalam diri belia dan kesedaran untuk membantu pihak kerajaan serta mendukung hasrat negara dalam mencapai visi negara untuk mendapatkan belia yang berwawasan.
