Wednesday, April 2, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara Amal Ramadan santuni 17 keluarga

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Sebanyak 17 buah keluarga daripada golongan susah termasuk penerima bantuan kebajikan bulanan daripada JAPEM, anak-anak yatim, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di keempat-empat daerah kelmarin menerima sumbangan berupa barang keperluan asas di Program Kembara Amal Ramadan 2025 anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

    Sumbangan di Daerah Brunei dan Muara disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Sumbangan-sumbangan berkenaan berlangsung di lima buah rumah bermula dari rumah pertama di Kampung Lupak Luas, Kampung Junjongan, Kampung Putat, Kampung Subok dan rumah terakhir di Kampung Rimba.

    Turut menyertai rombongan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, selaku Ketua Kampung Subok; Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, selaku Ketua Kampung Putat Zon 5; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh; ketua-ketua jabatan, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan dari KKBS dan JAPEM, penghulu dan ketua-ketua kampung yang berkenaan.

    Sementara itu, sumbangan di Daerah Tutong disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, menyaksikan sumbangan kembara bergerak ke empat buah rumah di Kampung Kiudang, Kampung Kuala Ungar, Kampung Bukit Udal dan rumah terakhir di Kampung Sengkarai.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyempurnakan penyampaian sumbangan di Daerah Brunei dan Muara. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Salah sebuah keluarga menerima sumbangan semasa Program Kembara Amal Ramadan 2025. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Turut menyertai rombongan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, selaku Ketua Kampung Sengkarai Zon 2; Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, selaku Penghulu Mukim Ukong Zon 1; ketua-ketua jabatan, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan dari KKBS dan JAPEM, penghulu dan ketua-ketua kampung yang berkenaan.

    Program kembara seterusnya ke Daerah Temburong, diketuai oleh Setiausaha Tetap (Kebeliaan), KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin dengan mengunjungi empat buah rumah bermula dari rumah di Kampung RPN Rataie, Kampung Belais, Kampung Parit Belayang dan berakhir di rumah di Pekan Bangar.

    Turut menyertai rombongan, ketua jabatan, pengarah dan pegawai-pegawai kanan dari KKBS dan JAPEM, penghulu dan ketua-ketua kampung yang berkenaan.

    Bagi Daerah Belait pula, rombongan mengunjungi empat buah keluarga di Kampung RPN Pandan ‘B’, seterusnya ke dua buah rumah di Kampung RPN Panaga dan berakhir di Kampung Keluyoh Juga menerima sumbangan berkenaan.

    Hadir mengetuai sumbangan berkenaan ialah Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, KKBS, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

    Turut menyertai rombongan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman, selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat Zon1; Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, selaku Ketua Kampung Bukit Sawat, Zon 1; pegawai-pegawai kanan dari KKBS dan JAPEM, penghulu dan ketua-ketua kampung yang berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda