Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara ATV merentasi taman pertanian dan halangan mencabar

    Oleh Zulkamal Haji Kamis

    Gambar oleh Syamim Mahmud, Ruzaini Haji Daud, Adiman Taha & Syahmi Hassan

     

    KATIMAHAR – Negara Brunei Darussalam walaupun nampak kelihatan kecil namun negara yang aman dan makmur ini masih terpelihara dengan kehijauan semula jadi yang terjaga dan sentiasa menghijau, justeru, menikmati udara yang menghijau memang menjadi satu ilustrasi keamanan dan kenikmatan yang menyegarkan dan menenangkan.

    Baru-baru ini, penulis bersama tujuh rakan sekerja telah berkunjung ke salah sebuah tapak pertanian terkenal di Kampung Katimahar iaitu Taman Agri Katimahar.

    Apa yang menarik ialah rombongan kami telah menggunakan perkhidmatan pengangkutan ATV yang diusahakan oleh salah sebuah pengurusan ATV yang berpusat di kampung berkenaan.

    Justeru, ahli rombongan berpeluang untuk meneroka taman berkenaan dengan menggunakan ATV sambil menyaksikan sendiri keindahan taman pertanian tersebut.

    Kami sampai ke lokasi sekitar jam 10 pagi dan disambut baik oleh pengurus ATV. Ketika itu, sebanyak lapan ATV telah disediakan bagi membawa kami.

    Ahli rombongan media merakam gambar bersama pengurus ATV.
    Ahli rombongan media merakam gambar bersama pengurus ATV.
    Ahli rombongan sebelum sedia memulakan kembara bersama ATV Katimahar.
    Ahli rombongan sebelum sedia memulakan kembara bersama ATV Katimahar.
    Penulis dan rakan-rakan yang lain selepas kembara ATV berakhir.
    Penulis dan rakan-rakan yang lain selepas kembara ATV berakhir.
    Pengurus ATV Katimahar Adventure, ketika menerangkan peraturan dan keselamatan menggunakan ATV.
    Pengurus ATV Katimahar Adventure, ketika menerangkan peraturan dan keselamatan menggunakan ATV.

    Sebelum kembara dijalankan, pengurus ATV memberikan sedikit penerangan mengenai dengan isu-isu keselamatan dan peringatan ketika menaiki ATV kerana kembara ini amat berbeza dengan penggunaan ATV di kawasan pantai mahupun di jalan raya.

    Kembara ATV yang ditawarkan agak sedikit berbeza kerana kembara akan dilakukan di dalam kawasan pertanian dan hutan yang mencabar.

    Seterusnya, kami diberikan penerangan bagaimana untuk menggunakan ATV dengan betul seperti cara untuk menghidupkan ATV, memasukkan ‘gear’ dengan tepat bagi membolehkan ATV untuk bergerak.

    Pengurus ATV juga turut menerangkan simbol dan gerak badan bagi memastikan perjalanan ATV berjalan dengan lancar dan sempurna tanpa melibatkan sebarang kemalangan.

    Pihak pengurus juga turut menasihati kami untuk sentiasa berhati-hati ketika menggunakan ATV dan fokus bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

    Selepas sahaja selesai penerangan daripada pihak pengurus, kami seterusnya menaiki ATV dan cuba mengerakkan ATV di kawasan tersebut bagi proses ‘membiasakan’ sebelum bergerak memasuki taman pertanian tersebut.

    Walaupun dalam keadaan yang panas terik namun tidak melunturkan semangat kami untuk terus mengembara bersama ATV.

    ATV Katimahar

    ATV bukanlah satu permainan yang baru atau asing di negara kita ini, namun tidak dapat dinafikan ia merupakan satu permainan yang lasak yang mana semakin digemari ramai khususnya golongan-golongan muda.

    Apa yang menarik, di taman pertanian ini terdapat beberapa laluan yang tersedia bagi mencabar adrenalin para penunggang ATV. Apa yang boleh dikatakan, laluan ini memang setaraf dengan negara-negara luar malah lebih mencabar.

    Kembara ATV Katimahar ini menawarkan dua kategori perjalanan iaitu perjalanan konkrit dan juga perjalanan berlumpur.

    Bagi mereka yang inginkan suasana santai dan tenang, perjalanan konkrit memang sesuai untuk anda manakala bagi mereka yang gemar kepada aktiviti lasak dan mencabar, perjalanan lumpur mungkin akan mampu mencabar kredibiliti anda.

    Berdasarkan beberapa informasi yang diperolehi, kembara ATV ini sekurang-kurangnya mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam perjalanan sama ada melalui perjalanan konkrit mahupun perjalanan berlumpur.

    Ahli rombongan ketika berada di kawasan hutan yang berlumpur.
    Ahli rombongan ketika berada di kawasan hutan yang berlumpur.
    Penulis bersama dengan rakan-rakan ketika berada di jalan konkrit.
    Penulis bersama dengan rakan-rakan ketika berada di jalan konkrit.
    Aksi penulis ketika melalui jalan berlumpur yang mencabar.
    Aksi penulis ketika melalui jalan berlumpur yang mencabar.

    Setiap penunggang ATV akan dilengkapi dengan topi keledar dan juga satu beg kalis air bagi melindungi barang berharga pengguna seperti telefon bimbit dan sebagainya. Malah, ruang rehat dan juga lokasi untuk membersihkan diri juga turut disediakan oleh pihak pengurusan.

    Menelusuri Pertanian Katimahar

    Taman Agri MPK Katimahar ini terletak 25 kilometer dari ibu negara, Bandar Seri Begawan dan meliputi kawasan lebih 100 ekar termasuk lima ekar hutan asli malah taman agri ini mempunyai kira-kira 50 kolam ikan air tawar dan turut menawarkan 10 unit chalet tradisional.

    Taman berkenaan telah dibuka pada tahun 2010 dan merupakan sebuah taman di bawah kendalian MPK Katimahar dan dijalankan oleh para petani dari kampung tersebut.

    Kami berpeluang untuk meredah kesegaran taman pertanian tersebut yang mana diketuai sendiri oleh pengurus ATV. Apa yang menarik, sepanjang perjalanan, ahli rombongan menyaksikan pelbagai tapak-tapak pertanian dan kebun-kebun yang diusahakan oleh penduduk-penduduk kampung daripada tanam-tanaman kepada ladang-ladang ikan.

    Pemandangan yang segar di sekitar kawasan Taman Agri Katimahar.
    Pemandangan yang segar di sekitar kawasan Taman Agri Katimahar.
    Beberapa ekor kerbau kelihatan di sekitar taman agri berkenaan.
    Beberapa ekor kerbau kelihatan di sekitar taman agri berkenaan.

    Menurut salah seorang pengurus, Taman Agri MPK Katimahar ini dipenuhi dengan pokok-pokok durian dan apabila musim buah durian, pokok-pokok di taman agri ini akan dipenuhi dengan buah tersebut.

    Sepanjang perjalanan, ahli rombongan turut menyaksikan kemunculan dua ekor kerbau. Menurut pihak pengurus, kerbau-kerbau yang terdapat di taman agri ini tidak pernah mengganggu manusia malah kerbau-kerbau ini memang jinak dan sudah sinonim akan kewujudan manusia di sekelilingnya.

    Selain itu juga, taman agri ini turut menawarkan satu tapak untuk aktiviti berkhemah dan juga ladang ikan untuk para penggemar aktiviti memancing.

    Melihat Ladang ternakan buaya

    Selepas sahaja menelusuri kawasan tapak pertanian di kawasan tersebut, ahli rombongan turut berpeluang untuk menyaksikan sendiri ladang ternakan buaya yang mana diusahakan oleh salah seorang penduduk di kampung tersebut.

    Menurut pihak pengurus, dianggarkan sekitar 200 hingga 300 ekor buaya terdapat di dalam ladang tersebut.

    Kami terlebih dahulu menaiki bukit bagi melihat dengan lebih jelas akan pemandangan ladang buaya tersebut.

    Ladang buaya yang dipenuhi sekitar 200 hingga 300 ekor buaya.
    Ladang buaya yang dipenuhi sekitar 200 hingga 300 ekor buaya.

    Panorama itu sedikit sebanyak membuka mata kami tentang besarnya ladang tersebut yang mana kelihatan beberapa ekor buaya besar sedang berjemur di bawah terik matahari.

    Kami juga dapat melihat akan beberapa spesies burung yang hinggap di pokok-pokok berdekatan dengan ladang tersebut.

    Apa yang menarik, menurut salah seorang pengurus, setiap petang, persekitaran itu akan dipenuhi dengan burung Kenawai yang berwarna putih malah ada di antara burung itu akan hinggap di badan buaya tersebut dan buaya-buaya tersebut tidak akan mengganggunya kerana burung-burung itu akan memakan serangga-serangga yang hinggap di badannya.

    Cabaran meredah lumpur

    Boleh dikatakan ini adalah aktiviti yang paling mencabar di sepanjang kembara kami. Selepas sahaja selesai meneroka perjalanan di bahagian konkrit, kami mula beralih kepada bahagian berlumpur.

    Sebelum memasuki kawasan tersebut, pihak pengurus terlebih dahulu memberikan sedikit penerangan mengenai apa yang dilakukan ketika berada di laluan berlumpur ini bagi membolehkan setiap orang mengetahui apa yang perlu dibuat.

    Sejurus selepas itu, satu persatu kami meredah kawasan berlumpur yang berair dan becak namun masih seronok serta mencabar.

    Sepertimana perjalanan di bahagian konkrit, laluan berlumpur ini juga meredah sebahagian lot-lot tanah pertanian namun agak sedikit berbeza kerana persekitaran sekeliling seperti berada di dalam hutan dan dipenuhi dengan nyamuk yang berterbangan namun itu tidak menghalang kami untuk meneruskan kembara menjelajah halangan yang berlumpur ini.

    Apa yang pasti, kekuatan terletak kepada tangan dan badan anda untuk membantu ATV anda bergerak selain dipantau oleh pihak pengurusan bagi memastikan keselamatan masih lagi terjamin.

    Kecekapan anda untuk meredah kawasan berlumpur membuatkan anda bijak untuk mengatur strategi bagaimana untuk mengemudi ATV anda.

    Menurut salah seorang pengurus ATV, aktiviti kembara di kawasan berlumpur ini akan lebih mencabar ketika musim hujan kerana tanah-tanah akan lebih becak dan berair, oleh itu perjalanan ATV akan lebih mencabar dan memerlukan tenaga yang kuat.

    Justeru, Katimahar Agri Park ATV Adventure memberikan anda pelbagai pengalaman yang memang menakjubkan dan anda tidak perlu lagi keluar negara untuk merasakan kehebatan ini, kerana di negara kita sendiri sudah mempunyai kegiatan lasak ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda