Thursday, April 24, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara hijau Katiravan di bumi Afrika

    KUALA LUMPUR, 24 APRIL -Ketibaan Katiravan Subrayan di Tanzania, negara ke-62 dalam misi globalnya disambut dengan pemandangan Gunung Kilimanjaro, simbol tertinggi benua Afrika yang kini menjadi latar bagi usaha mempromosikan kelestarian alam sekitar dan memperkenalkan Malaysia ke seluruh dunia.

    Bekas juruelektrik berusia 64 tahun itu mengembara merentasi selatan Afrika dengan basikal yang dinamakannya Parameswara, dan mendapati banyak negara membenarkan kemasukan tanpa visa untuk rakyat Malaysia serta kemudahan mengeluarkan wang dengan kad debit Malaysia tanpa caj tambahan.

    Katiravan turut menggunakan dokumen Carnet de Passages en Douane bagi memudahkan kemasukan basikalnya di sempadan tanpa perlu membayar cukai import.

    “Afrika sedang bangkit,” katanya yang kagum dengan layanan mesra rakyat tempatan dan ketenangan suasana yang jauh berbeza daripada jangkaan awalnya mengenai isu keselamatan dan infrastruktur.

    Sejak tiba di Johannesburg, Afrika Selatan pada 10 Jan dari Sao Paulo, Brazil, dia semakin yakin dengan potensi benua itu, terutama keindahan semula jadi dan kepelbagaian budaya yang dimiliki.

    Sepanjang perjalanan, dia berkongsi perkembangan harian kepada Bernama bersama gambar landskap dan komuniti tempatan, di samping memuji penggunaan Bahasa Inggeris yang meluas — satu kelegaan berbanding pengalaman di Amerika Selatan dan Tengah.

    Katiravan menjadi perhatian media tempatan, termasuk saluran TV dan radio apabila berkongsi misinya menanam pokok dan memperkenalkan Malaysia yang ternyata masih kurang dikenali di Afrika.

    “Ramai di sini tidak pernah dengar nama Malaysia. Setakat ini saya telah perkenalkan negara kita kepada 3,890 orang. Saya tunjuk lokasi Malaysia di peta setiap kali,” katanya.

    Ketika berada di Dar es Salaam, dia bertemu Magesvaran, rakyat Malaysia dari Puchong yang kini mengusahakan beberapa perniagaan termasuk rangkaian restoran Marrybrown.

    Katiravan diraikan dengan juadah masakan isteri Magesvaran, Lingeswary seperti sambar, rasam, sambal ikan bilis, ayam varuval, kesari, nasi dan rawa thosai.

    Di Marangu, Wilayah Kilimanjaro, dia melawat Gua Chagga iaitu terowong buatan abad ke-18 yang digunakan sebagai perlindungan daripada serangan puak Maasai dan berpeluang menanam pokok ke-131.

    Katiravan juga mendaki ke tapak perkhemahan pertama, Mandara Hut, di Taman Negara Kilimanjaro pada ketinggian 2,720 meter serta mengibarkan Jalur Gemilang, walaupun tidak mampu meneruskan pendakian ke puncak setinggi 5,895 meter.

    Di Malawi dan Zimbabwe, dia menyaksikan keindahan Tasik Malawi serta keagungan Air Terjun Victoria — antara tarikan semula jadi paling mengagumkan di rantau itu.

    Katiravan akan meneruskan perjalanan ke Rwanda, Uganda dan Kenya dalam misinya yang bukan sahaja memperjuangkan alam sekitar, tetapi juga menyemai hubungan antara budaya. –Bernama

    Katiravan Subarayan, 63, pesara Malaysia yang dalam misi motosikal mengelilingi dunia, pada 21 janurai. -Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda