SELEPAS sahaja berjaya menawan Gunung Everest, seorang aktivis kembara dari Filipina, Carina Dayondon kini merancang untuk menggunakan kapal layar dan mengembara secara persendirian ke China.
Carina telah menggunakan replika sebuah kapal kayu menyerupai kapal kuno dengan membawa harapan untuk meningkatkan lagi kebanggaan negara itu khususnya dalam bidang maritim yang semakin dilupakan. Dayondon akan merancang untuk belayar dari Manila ke Selatan China pada awal tahun depan dan mencipta satu pelayaran perdagangan dan penghijrahan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Sepanyol semasa menjelajah Filipina pada tahun 1500a-an.
“Orang ramai banyak mengatakan saya sudah gila dan sering kali bertanya, kenapa perlu mendaki Everest dan kenapa perlu belayar ke China dengan menggunakan kapal yang kecil ini,” kata Dayondon kepada wartawan AFP di Manila Bay di salah sebuah kawasan di mana dua buah bot telah dibina dan salah sebuahnya akan digunakan oleh Dayondon untuk kembara ke China. “Saya sangat gembira kerana pasukan kami akan lebih berinspirasi dan kami perlu memberitahu kepada orang ramai bahawa kami juga patut bangga menjadi penduduk Filipina,” kata Carina yang berusia 39 tahun itu kepada wartawan AFP.
Bekerja sebagai seorang pegawai pantai yang mempunyai badan yang kecil namun berpengalaman dalam bidang kembara telah mencipta sejarah pada tahun 2007 setelah dia bersama dengan dua orang wanita dari negara yang lain telah berjaya mendaki gunung yang tertinggi sekali di dunia itu. Arturo Valdez, yang mana juga pernah mengetuai sokongan Everest, juga akan mengetuai misi pelayaran dan melihat perjalanan ke China itu sebagai satu peluang untuk memberikan inspirasi khususnya kepada penduduk Filipina. “Sebagaimana gunung Everest, saya mahu kembara ini sebagai satu simbol yang boleh dicapai oleh penduduk tempatan, tentang apa yang boleh dilakukan daripada sesuatu yang tidak mungkin,” tambah Carina lagi kepada pihak media.
Kapal yang akan digunakan oleh Carina itu dikenali sebagai ‘Balangay’ dan telah mula digunakan sejak zaman kuno lagi iaitu sekitar 320 AD.

“Perdagangan awal dengan China dan Asia Tenggara adalah dengan menggunakan perahu. Orang-orang Eropah pada zaman penjajahan itu sangat pandai dan memuji akan kemahiran tukang pembina bot di Asia Tenggara namun kami tidak banyak memberikan perhatian terhadap perkara ini,” kata Ligaya Lacsina, penyelidik di bahagian maritim Muzium Negara kepada wartawan.
Kebanyakan pembina perahu kapal berasal dari Selatan Filipina malah kapal yang akan digunakan oleh Carina itu nanti telah dibuat oleh tukang perahu yang telah mewarisi ilmu pembuatan perahu dari generasi ke generasi.
Kapal yang berukuran 18 meter panjang dengan keluasan tiga meter lebar itu diperbuat daripada papan kayu keras termasuk dua kain layar, dua kemudi dan satu ruang kawasan berbumbung. Perjalanan kembara dari Filipina ke bandar Quanzhou iaitu Tenggara China memakan perjalanan sekitar 1,000 kilometer dan anggota kru berusaha untuk tidak terlalu bergantung dengan bantuan daripada teknikal moden.
“Kami tidak mempunyai keupayaan untuk berlayar malam dan khuatir jika kami terserempak dengan kapal yang lebih besar. Itulah kebimbangan saya, kesukaran yang paling besar adalah untuk mereplikasikan pelayaran purba kepada moden kerana kebanyakan pelabuhan menggunakan teknik dan protokol yang lebih moden. Bot jenis ini akan dianggap sebagai salah satu bahan maritim yang bahaya,” tambah Carina lagi kepada wartawan.
Semangat sebuah negara
“Kehidupan harian di atas perahu merupakan satu perjuangan,” kata Carina kepada media.


“Kami tidur di mana-mana kerana kami tidak mempunyai tempat tinggal, kami tidak mempunyai tandas, kami hanya memegang tali dan menggunakan tali pinggang serta melakukan kedudukan yang tepat dan sesuai supaya kami tidak jatuh,” tambahnya lagi kepada media.
Walau bagaimanapun, bot ketiga sebenarnya juga dihasilkan namun tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan-pelabuhan di China.
Perjalanan mereka telah dirancang dalam usaha mereka untuk memperingati perjalanan yang telah dibuat kira-kira 600 tahun yang lalu oleh seorang Sultan dari Pulau Sulu yang telah pergi ke China untuk memberikan penghormatan kepada raja-raja Dinasti Ming di sana namun sultan tersebut telah meninggal dunia akibat penyakit dalam perjalanan pulang ke Filipina.
Pelayaran ke China itu akan menjadi usaha maritim kedua pasukan berkenaan berikutan perjalanan 17 bulan yang bermula pada tahun 2009 di sekitar Asia Tenggara.
Salah satu cabaran terbesar kumpulan berkenaan adalah untuk mencari wang yang mencukupi untuk membiayai pengembaraan mereka.
Ahli pasukan tersebut merancang untuk membuka kapal mereka untuk orang ramai membuat lawatan pendidikan dan sebagainya sebelum mereka memulakan perjalanan.
Valdez, juga merupakan lelaki Filipina pertama berada di gunung Everest pada tahun 2006 dan dia berharap agar pihak kerajaan segera untuk memulihkan kewangan mereka namun harapan mereka menjadi sia-sia.
“Masyarakat Filipina sangat suka akan perkembangan kami malah mereka sangat suka akan harapan kami namun mereka tidak dapat untuk membiayai kemampuan kami,” tambah Valdez mengakhiri temu ramah bersama pihak media. – AFP