Thursday, January 2, 2025
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara Kenali Borneo menuju ke Kuching

    SIBU, 12 SEPT – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meneruskan penjelajahan Kembara Kenali Borneo menuju ke Kuching hari ini, melibatkan perjalanan sejauh 398 kilometer (km) dari sini.

    Sebelum bertolak ke Kuching, kembara Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersama rombongan yang memasuki hari ke-10 itu dijadualkan berangkat ke Pasar Sentral Sibu di sini, untuk santapan pagi dan lawatan di pasar itu hingga 12:30 tengah hari.

    Usai acara berkenaan, Seri Paduka berdua dijadualkan berkenan menunaikan solat serta santapan tengah hari di Masjid Bandar Sri Aman selain melawat Fort Alice, sebuah kubu yang dibina semasa zaman pemerintahan Brooke di Sarawak, sebelum menuju ke hotel penginapan di Kuching.

    Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadualkan berangkat ke Majlis Penutup Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam Bersama Kerajaan Negeri Sarawak di Kuching.

    Berangkat sama bagi Kembara Kenali Borneo di Sarawak ialah paduka anak-anda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

    Kembara Kenali Borneo akan mengakhiri pengembaraan di Telok Melano, di selatan Sarawak esok selepas memulakan penjelajahan dari Tawau, Sabah pada 3 September lepas. – Bernama

    Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyanyi pada Majlis Santapan bersama rakyat di Dewan MUC, Kampung Bandung kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda