Wednesday, November 20, 2024
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara Kenali Borneo realisasikan impian Agong

    KUALA LUMPUR, 1 SEPT – Kembara Kenali Borneo, satu pengembaraan bagi mengenali lebih dekat rakyat Malaysia yang menetap di pedalaman Sabah dan Sarawak, bakal merealisasikan impian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk mendekati penduduk kedua-dua negeri itu.

    Keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah untuk menelusuri Lebuhraya Pan Borneo dalam program pengembaraan yang pertama kali diadakan oleh seorang ketua negara, pastinya membuka peluang keemasan bagi rakyat di kedua-dua negeri untuk beramah mesra dan mengenali dengan lebih dekat pasangan diraja dan delegasi.

     Kembara Kenali Borneo, bermula dari Tawau, Sabah hingga ke Telok Melano, Sarawak mulai 3 hingga 13 Sept, akan mencatat sejarah tersendiri dan pengalaman unik kerana pelbagai program serta aktiviti bersama rakyat dirancang seperti dihasratkan Seri Paduka untuk mengenali lebih dekat penduduk kedua-dua negeri yang kaya dengan adat resam, budaya dan seni kraf suku kaum.

    Juruiring Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Yang di-Pertuan Agong, Brig Jen Datuk Mohamed Zahari Yahya, yang juga Ketua Pegawai Operasi Kembara Kenali Borneo, berkata beberapa program diatur untuk Seri Paduka berdua mendekati rakyat dan santap bersama dengan komuniti setempat, melawat tempat menarik dengan keunikan alam semula jadi dan tamu atau pasar harian yang sinonim dengan masyarakat setempat.

    “Program-program ini tidak diminta oleh rakyat Sabah dan Sarawak. Tuanku (Seri Paduka berdua) sendiri yang menyatakan hasrat untuk melawat lokasi yang dipilih…dan mengambil peluang untuk melihat kawasan-kawasan lain (di Sabah dan Sarawak).

    “Malah Tuanku turut menyatakan hasrat untuk sumbang kurnia kepada pihak yang memerlukan,” katanya kepada pemberita di Istana Negara, baru-baru ini. – Bernama

    Brig Jen Datuk Mohamed Zahari Yahya menunjukkan laluan yang dilalui oleh Yang di-Pertuan Agong ketika ditemubual sempena Kembara Kenali Borneo di Istana Negara baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda