SEMATAN, 11 OGOS – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengadakan Kembara Kraf Borneo pada Oktober ini di Sabah dan Sarawak dalam usaha mengetengahkan produk kraf di kedua-dua negeri itu.
Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata walaupun kedua-dua negeri itu besar dan memerlukan pendekatan berbeza, beliau yakin program tersebut mampu mencapai kejayaan luar biasa.
“Semestinya usaha ini dilihat mampu mengangkat kraf tempatan dan memberikan manfaat terutamanya kepada usahawan di bawah kraf negara.
“Saya percaya dengan kembara seni ini kita mampu memberitahu masyarakat di luar sana tentang betapa indah dan uniknya kraf kita di Borneo,” katanya selepas merasmikan Pesta Sematan di sini hari ini.
Khairul Firdaus berkata setelah menggabungkan usahawan kraf di Borneo menerusi kembara tersebut, kementeriannya akan memperhebatkan usaha dari segi promosi agar produk kraf kedua-dua negeri dapat dipasarkan. – Bernama


