Friday, February 14, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara mencari sebuah kedamaian

    MULA menjadi pilihan hiburan kepada individu yang gemar dan aktif bermain permainan video bertemakan aksi pengembaraan pada tahun 2007, kini Ubisoft Montreal semakin aktif untuk mengorak langkah dan menerbitkan siri terbaru yang juga merupakan siri kesepuluh dalam francais Assasin’s Creed iaitu Assassin Creed Origins.

    Menariknya, permainan dalam siri terbaru ini adalah berlatarkan kepada latar Mesir Kuno sewaktu era Ptolemaic di mana ia juga menyingkap sejarah kerajaan tersebut.

    Rata-rata kebanyakan pengulas dan pakar analisis permainan video memberikan pandangan positif berhubung jalan cerita, karakter, sistem permainan menarik, dunia visual yang menampilkan latar Mesir yang sangat menarik.

    Menerokai dunia Mesir kuno

    Pada dasarnya kisah dalam permainan video ini lebih menumpukan kepada kisah penerokaan asal-usul konflik yang berlarutan secara berkurun lalu di antara Brotherhood of Assasins yang berjuang untuk mendapatkan keamanan demi mempromosikan hak kebebasan dan jelas bertentangan dengan The Order of Ancients yang cukup mengkhendaki perdamaian menerusi perintah yang kuat.

    Para pemain berpeluang untuk menunggang unta sebagai salah satu kemudahan untuk melancarkan kembara dalam Assasins Creed Origin.

    Pemain akan memegang peranan sebagai seorang anggota keselamatan bernama Bayek yang harus melaksanakan tugas untuk melindungi masyarakat di kerajaan Ptolemaic sewaktu pergolakan sedang berlangsung.

    Pemimpin, Ptolemy XIII berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk mengekalkan pemerintahannya dan bercadang untuk memperluaskan kerajaannya.

    Cabaran ternyata semakin kuat dengan kebangkitan semula Cleopatra yang merupakan mantan pemimpin yang telah digulingkan cuba berusaha untuk mengumpulkan tenteranya demi memperkuatkan kuasa untuk melancarkan serangan balas terhadap Ptolemy.

    Antara cabaran lain yang harus dihadapi adalah berhadapan dengan serangan yang kerap dilaksanakan oleh Republik Romawi di bawah pemerintahan Julius Caesar.

    Justeru adalah menjadi peranan pemain untuk mengawal karakter Bayek yang harus mengatur langkah dan strategi demi mengumpulkan informasi dan maklumat di sepanjang kembara yang dilalui serta berusaha untuk mengembalikan semula kedamaian pada kerajaan tersebut.

    Terokai dunia purba Mesir dalam Assasins Creed Origin.
    Para pemain harus bijak dalam mengatur langkah dan strategi bagi memastikan kejayaan dalam permainan video ini.

    Corak permainan

    Sebagaimana di dalam kebanyakan siri Assasin Creed yang terdahulu, para pemain juga akan bermain permainan video ini dari persepektif third-person yang bebas mengembara di kawasan Mesir yang begitu luas itu sambil mengumpulkan mata.

    Di sepanjang kembara yang dilalui itu, pemain juga berpeluang untuk mengembara dengan menaiki kuda, unta dan juga bot untuk menerokai sesebuah lokasi yang dituju.

    Dalam mod Eagle vision pula para pemain berpeluang untuk mengawal seekor burung helang di mana ia memberikan peluang kepada pemain untuk memastikan sesebuah kawasan itu selamat daripada sebarang kehadiran pihak musuh dan objek yang mencurigakan.

    Sistem pertarungan setentunya menjadi ciri utama yang boleh dikawal oleh pemain ketika berhadapan dengan musuh dan menariknya lagi adalah apabila pemain bukan hanya akan bertarung di atas kawasan permukaan sahaja bahkan juga di kawasan bawah air.

    Semakin jauh perjalanan kembara yang dilalui oleh para pemain sekali gus meningkatkan lagi peluang pemain untuk meningkatkan kemahiran pertarungan dan juga seleksi senjata yang dapat digunakan di sepanjang pengembaraan.

    Justeru, sekiranya pemain teruja untuk mengalami sendiri keseronokan kembara yang ditawarkan di dalam Assasin Creed Origins ini jangan terlepas untuk mencubanya sendiri di mana permainan video itu dikeluarkan untuk pelantar Microsoft Windows, PlayStation 4 dan Xbox One.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda