Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara menerokai keindahan Copenhagen

    TIDAK banyak yang pernah diperkatakan mengenai Denmark namun berkat ekonominya yang pesat secara tidak langsung telah menjadikannya sebagai salah sebuah negara dengan kos sara hidup paling mahal di dunia.

    Denmark terletak di antara bahagian paling utara Jerman dan penghujung paling selatan Sweden.

    Di tengah-tengah negara kecil ini tersergam Copenhagen, ibu negara Denmark yang gah dan indah.

    Dengan reputasinya sebagai sebuah negara yang maju seperti negara Skandinavia lain, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kala penduduknya dianggap di antara rakyat paling bahagia di dunia.

    Penduduk Denmark dikatakan menikmati taraf kehidupan yang tinggi dan negaranya mendahului dalam beberapa metriks prestasi kebangsaan, termasuklah pendidikan, kesihatan, perlindungan kebebasan awam, pemerintahan demokrasi, kemewahan dan juga pembangunan manusia.

    Tietgenkollegiet merupakan sebuah kediaman pelajar yang memiliki reka bentuk yang unik.

    Sebaik sahaja tiba di lapangan terbang antarabangsa Copenhagen, pengunjung boleh membeli tiket ke stesen Copenhagen Central dengan menggunakan mesin tiket.

    Umpama berada di alam fantasi

    Melangkah keluar daripada stesen pusat tersebut, pengunjung setentunya terpesona melihat kebahagiaan penduduknya yang beriadah di sebuah taman tema terkenal di dalam bandar raya, Tivoli Gardens.

    Biarpun tidaklah sebesar taman tema lain, ia adalah benda pertama yang anda nampak sebaik sahaja keluar dari pintu utama stesen Copenhagen Central.

    Terdengar dan terlihat riak wajah pengunjung dewasa dan kanak-kanak yang ketawa dengan penuh girang sambil menaiki aneka permainan yang ada.

    Tivoli Gardens merupakan tempat terbaik untuk mengenali Copenhagen kerana taman tersebut sudah wujud sejak 1843 dan merupakan taman tema kedua tertua di dunia.

    Selain untuk berseronok dengan aneka permainan ia juga menjadi tempat untuk menonton persembahan dan juga menikmati sajian enak.

    Ia juga merupakan tempat tersergamnya Hotel Nimb, sebuah hotel eksklusif dan indah yang bangunannya kelihatan seperti sebuah istana dari kisah dongeng.

    Seni reka landskap yang begitu menarik dan persekitaran mirip alam fantasi setentunya akan membuatkan pengunjung merasakan diri seolah-olah berada dalam filem Harry Potter.

    Di luar taman tema, suasananya agak berbeza. Copenhagen merupakan salah satu bandarr aya paling mesra-basikal selain Amsterdam dan terdapat laluan khas basikal di tiap penjuru.

    Walaupun menikmati taraf status kehidupan yang tinggi namun para penduduk di Copenhagen lebih suka untuk menggunakan basikal di kawasan bandar raya.
    Pengunjung setentunya berasa seperti di alam fantasi ketika berada di Tivoli Garden.

    Menerokai keindahan suasana bandar

    Malah berbasikal merupakan cara terbaik untuk menjelajah kota ini. Dan lebih daripada 70 peratus penduduk Copenhagen kerap berbasikal.

    Lebih menarik lagi pengunjung turut berpeluang untuk menjelajah ke penjuru-penjuru bandar raya yang kurang dilawati seperti beberapa bangunan di kawasan perumahan penduduk dengan senibina yang menakjubkan.

    Di antara yang popular adalah Tietgenkollegiet yang merupakan sebuah kediaman pelajar berbentuk bulatan di Orestad yang terletak di luar pusat kota Copenhagen.

    Ia lengkap dengan dapur komuniti, bengkel, kafe, bilik muzik dan macam-macam lagi. Namun ini tidak bermakna anda harus melupakan tarikan pelancongan yang lain.

    Pastikan anda turut mengambil peluang untuk bersiar-siar di sepanjang kawasan Nyhavn dan bergambar dengan latarbelakang bangunan warna-warninya di samping bot-bot cantik sebelum menuju ke patung Puteri Duyung serta Istana Diraja Amalienborg.

    Untuk membeli-belah pula pastikan anda singgah di Stroget yang menampilkan kedai dan butik. Di situ juga terletaknya kedai LEGO yang terkenal dan sinonim dengan Denmark.

    Cara terpantas untuk melihat kesemua tempat menarik di bandar raya ini adalah dengan menaiki bas dan bot hop-on hop-off di mana satu tiket membolehkan pelancong menaiki kedua-duanya yang akan berpusing keliling bandar.

    Biarpun Copenhagen (dan Skandinavia secara umum) sedikit mahal berbanding bahagian Eropah lain, ia benar-benar berbaloi untuk dikunjungi kerana keunikannya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda