BEBERAPA permainan video terbitan Jepun seperti francais Final Fantasy dan Dragon Quest yang mula menghiburkan penonton pada era 90-an berjaya mengumpulkan peminat tersendiri malah membesar bersama malah ada juga di antaranya yang tetap meneruskan untuk bermain permainan video tersebut sehingga kini.
Tokyo RPG Factory yang pernah berjaya mendapat perhatian berikutan daripada usaha dan kejayaan dalam mengangkat tema klasik dan retro dalam sebuah permainan video aksi pengembaraan, I am Setsuna yang diterbitkan pada tahun 2016 kembali lagi untuk menampilkan konsep yang sama dalam Lost Sphear.
Walaupun permainan video ini menampilkan elemen nostalgia dan klasik namun seni grafik yang ditonjolkan jelas berada pada tahap yang mantap sehingga berjaya memperlihatkan suasana latar permainan yang cukup menarik.
Lebih menarik lagi, apabila susunan muzik popular 90-an yang ditampilkan dengan iri-ngan mainan melodi harmoni daripada petikan piano setentunya akan kembali menggamit nostalgia para pemain.



Mengembalikan ingatan masa lalu
Lost Sphear ini mengisahkan mengenai seorang lelaki muda bernama Kaneda yang berasa sangat terkejut tatkala dia tersedar dan mendapati bahawa keseluruhan kampung halamannya, El Garth kelihatan musnah dihancurkan satu kuasa jahat.
Lebih merumitkan keadaan lagi apabila Kaneda juga turut mendapati bahawa memori lamanya juga seolah-olah terhapus daripada mindanya malah dia juga tidak mampu untuk mengingati sebarang perkara yang boleh memberikan klu terhadap kemusnahan di kampung halamannya itu.
Hakikatnya, Kaneda merupakan seorang wira yang memiliki kemahiran dalam seni bela diri dan melancarkan kuasa ajaib.
Maka, dia bersama dengan rakan-rakannya yang ditemui di sepanjang kembara ini setentunya akan kembali berjuang untuk mendapatkan kembali memori lamanya sekaligus menegakkan keadilan ke atas apa yang telah menimpa kawasan halamannya.
Corak permainan klasik
Dalam permainan video ini, pemain akan memulakan permainan dengan mengawal ka-rakter utamanya iaitu Kaneda yang akan melalui perjalanan merentasi ke dunia di alam maya ini.
Hubungan baik setentunya akan terjalin bagi setiap karakter yang ditemui di sepanjang kembara ini sekaligus membolehkan mereka untuk ikut serta dalam membantu untuk melakukan sebarang pihak musuh yang ditemui.
Malah, pemain juga turut berpeluang untuk mengawal karakter-karakter lain yang turut membantu Kaneda melalui gaya pertempuran yang menggunakan sistem Pertempuran Aktif-Masa yang membolehkan pemain untuk menggerakkan setiap ahli parti ketika berada di medan perang sekaligus melakukan serangan mengikut giliran.
Bagi memperkuatkan kuasa serangan, pemain juga boleh meningkatkan lagi perisai dan senjata yang dimiliki dengan kelengkapan yang ditemui pada setiap kembara yang dilalui.
Kebijaksanaan pemain dalam mengatur taktik dan strategi jelas merupakan elemen penting dalam meraih kemenangan dalam permainan yang cukup mencabar ini.
Justeru sekiranya pemain bersedia dan ingin melalui kembara mencabar sambil mengimbau memori ini jangan terlepas untuk mencubanya dalam Lost Sphear yang dikeluarkan untuk platform Nintendo Switch, PlayStation 4 dan PC.