Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara Mercedes-Benz penuh mencabar, erat hubungan

    Oleh Yusrin Junaidi

    MIRI – Jati Transport Sdn Bhd selaku pengedar utama jenama kereta Mercedes di negara Brunei Darussalam telah mengadakan aktiviti kembara yang bertemakan Hungry for Adventure baru-baru ini bersempena Festival Hungry for Adventure yang diadakan di seluruh dunia.

    Aktiviti yang turut dimeriahkan dengan aktiviti lasak dan mencabar itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pelanggan Jati Transport dan kakitangannya. Hungry for Adventure berlangsung di Borneo Tropical Rain Forest, Miri, Malaysia.

    Dalam masa yang sama, syarikat tersebut juga mempamerkan beberapa varian model Mercedes-Benz yang ada di negara ini sekali gus mempertontonkan secara eksklusif Model GLC 200 dan GLC 300 yang baharu sahaja dilancarkan pada bulan ini.

    Selain itu, pelanggan juga berpeluang untuk menguji pandu model-model Mercedes-Benz yang disediakan. Menurut Eksekutif Pemasaran Jati Transport, Daniel Loo, aktiviti Hungry for Adventure tersebut merupakan acara antarabangsa yang dianjurkan oleh Mercedes Benz di seluruh dunia dan disokong oleh Jati Transport.

    Turut hadir bagi merasmikan pelepasan Konvoi Hungry for Adventure ke Miri, Sarawak yang bermula di Bilik Pameran Autohaus Jati Transport ialah Pengarah Urusan Jati Transport, Alfred So dan Market Manager for General Distributor Markets dari Mercedes-Benz Malaysia, Gerald Ho.

    Rombongan bergambar ramai di Borneo Tropical Rainforest Resort.
    Pelepasan konvoi oleh Pengarah Urusan Jati Transport.

    Peserta kembara Mercedes Benz semasa menyertai aktiviti flying fox.

    Konvoi diketuai oleh Gerald Ho dan Eksekutif Jualan Kanan Jati Transport Sdn Bhd, Ivan Chia.

    Penyertaan pelanggan

    Seramai 40 orang pelanggan dan kakitangan Jati Transport menyertai acara Hungry for Adventure dan sebanyak 20 buah model kereta Mercedes-Benz milik pelanggan dan Jati Transport turut menyertai perjalanan dari Negara Brunei Darussalam ke Miri, Sarawak.

    Antara model-model yang menyertai ialah GLA, C-Class, E-Class, ML, GLC, A Sedan, C-Coupe, GLC Coupe, SLK, dan CLA. Sepanjang perjalanan pengamal media tempatan juga berpeluang menguji pandu kereta-kereta Mercedes-Benz terbaharu antaranya GLC 200 dan 300.

    GLC 200 dan GLC 300 yang tampil dengan rekaan luaran bercirikan Off-Road yang memberikan imej yang lebih lasak menerusi kemasan krom dengan perak iridium legap pada bahagian gril hadapan memang sesuai digunakan dalam perjalanan jauh dan lasak ini.

    Menelusuri jalan menuju Borneo Tropical Rainforest yang berbatu-batu memang memerlukan kenderaan yang lasak, dan GLC 200 dan 300 dengan rim aloi ringan rekaan lima bilah bersaiz 19-inci, pelindung bawah yang disadur krom, sistem ekzos berkembar dengan kemasan krom dan rel bumbung anodized amat sangat sesuai melalui jalan-jalan yang lasak dan berbatu.

    Aktiviti lasak

    Sejurus tiba di Borneo Tropical Rainforest (BTTR), pada pukul 12 tengah hari, rombongan disambut oleh kakitangannya dengan persembahan muzik tradisional di Sarawak dan mendengarkan taklimat keselamatan dan sedikit sebanyak pengenalan tentang BTTR yang berlangsung di Lambir Hall.

    Pelbagai aktiviti yang menyeronokkan di dalam pakej berkenaan antaranya Trailer Ride yang memberikan peluang kepada ahli rombongan menikmati keindahan panorama hutan hujan tropika dengan menaiki treler dan berjalan. Melawat ladang ternakan haiwan dan menaiki bot di kawasan tasik yang indah.

    Menurut Daniel Loo, kelebihan aktiviti ini dapat melapangkan minda para pelanggannya serta kakitangannya apabila menikmati keindahan alam semula jadi.

    Manakala, aktiviti luaran yang telah disusun termasuklah flying fox, menelusuri hutan dalam kegelapan bagi merasakan sendiri kehidupan di dalam hutan pada waktu malam, lawatan sekitar kawasan Borneo Tropical Rainforest, memberi makan ikan dan dan banyak lagi.

    Jika ada peluang

    Pada hari terakhir, acara Free and Easy diadakan di mana para peserta menikmati hiburan di Water Park Borneo Tropical Rainforest Resort.

    Ketika ditemui Media Permata, pelanggan dan peserta berpeluang untuk mengucapkan terima kasih kepada Jati Transport Sdn Bhd yang mana telah mengadakan aktiviti lasak dan mencabar di tempat yang lebih mencabar dan jauh.

    “Kami berharap Jati Transport Sdn Bhd akan mengadakan aktiviti berkenaan di masa yang akan datang dan sudah setentunya kami ahli Kelab Mercedes Brunei dan para pelanggan akan menyertainya,” terang mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda