Sunday, July 7, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Kembara padang pasir tarik minat golongan muda Iraq

    SAMAWAH – Jauh dari kesibukan bandar raya besar, golongan muda Iraq semakin mengambil kesempatan ke atas percutian menyeronokkan dengan menerokai kawasan padang pasir yang tenang di negara itu.

    Terletak di tengah bukit pasir atau gumuk keemasan, Ghadanfar Abdallah dan rakan-rakannya berkumpul mengelilingi unggun api di padang pasir Samawah, selatan ibu negara, sambil menyanyikan lagu, gelak ketawa dan makan bersama.

    “Apabila kami memuat naik gambar, orang ramai tidak percaya bahawa terdapat tempat seperti bukit pasir di Iraq,” kata pekerja sektor minyak yang berusia 35 tahun itu.

    “Rakan-rakan saya bertanya sama ada gambar itu diambil di Dubai. Mereka terkejut apabila mendapat tahu bahawa gambar itu sebenarnya diambil di Iraq.”

    Selama bertahun-tahun, hanya pendaki dan pekhemah sahaja yang berani mengambil risiko membuat pengembaraan ke padang pasir Iraq.

    Pengembara Iraq membaca buku di dalam khemahnya. – AFP
    Seorang pengembara sedang menyediakan teh di dalam khemah. – AFP
    Pelancong Kuwait memandu jip di di padang pasir Samawa di selatan Baghdad. – AFP
    Para pengembara Iraq bermain permainan domino di luar khemah mereka. – AFP
    Pemandangan udara para pengembara mendirikan khemah mereka di padang pasir Samawa. – AFP
    Pengembara Iraq berkumpul di sekitar unggun api pada awal pagi. – AFP
    Gambar AFP

    Namun dengan kepopularan media sosial dan keadaan yang agak tenang, kawasan itu telah menjadi destinasi popular bagi mereka yang ingin mencari pengembaraan dan aktiviti lasak tetapi juga ketenangan di landskap yang luas dan tandus itu.

    “Ia adalah sesuatu yang saya sukai sejak kecil. Tetapi saya hanya mula melakukannya dengan rakan-rakan pada musim sejuk 2018 atau 2019,” kata Abdallah.

    Dia mengharungi 200 kilometer dari bandar selatan Basra untuk sampai ke kawasan yang tidak terjejas oleh kemewahan kehidupan bandar, termasuk rangkaian telefon.

    Pada hujung minggu musim sejuk baru-baru ini, kira-kira 20 pekhemah mendirikan khemah mereka di tengah-tengah bukit pasir yang tenang. Bau ikan putih yang dipanggang di atas unggun kayu api sungguh menyelerakan, ketika pendaki bersiap sedia untuk menikmati masakan kebangsaan Iraq, masgouf.

    Kemudian, beberapa orang bermain domino sementara yang lain bertekak dalam permainan backgammon, sambil menghirup teh panas dan menghisap hookah.

    Suara mereka bergema dengan lagu tradisional Iraq, ketawa mereka memecah keheningan malam yang sepi.

    Abdallah berkata ekspedisi padang pasir seumpama itu ‘telah menjadi semakin popular dan hari ini banyak kedai menjual peralatan perkhemahan’.

    “Beberapa orang mula menyedari bahawa ia selamat, ia adalah pengembaraan.”

    Namun bagi kebanyakan orang, risikonya masih wujud.

    Iraq dibelenggu konflik selama bertahun-tahun sejak serangan pimpinan Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003, termasuk pertempuran menentang kumpulan Islamic State (IS) baru-baru ini.

    Walaupun pejuang IS telah diusir dari kubu kuat mereka pada akhir 2017, ramai yang berundur ke tempat persembunyian di padang pasir, sebahagian besarnya di wilayah barat negara itu, di mana mereka masih sekali-sekala melancarkan serangan maut.

    “Bagaimana seseorang boleh pergi ke padang pasir yang tiada air atau rangkaian telefon?Jika sesuatu berlaku, bagaimana hendak melaporkannya?” kata Abdallah.

    Suhu pada musim panas yang sangat terik di Iraq, sering melebihi 50 darjah Celsius, bermaksud pengembaraan di tanah tandus itu hanya terhad pada musim sejuk.

    Percutian hujung minggu memerlukan kos antara AS$75 dan AS$100 setiap orang, termasuk makanan, pengangkutan dan penginapan. Satu perjalanan boleh membawa bersama kumpulan sehingga 30 orang – biasanya golongan lelaki di negara konservatif itu di mana wanita biasanya tidak mengambil bahagian dalam aktiviti seperti itu.

    Bagi Hussein al-Jazairi, perjalanan itu berbaloi dengan setiap sen yang dibelanjakan.

    “Bandar itu penuh dengan debu, bunyi bising dan gangguan kehidupan harian,” kata pempengaruh berusia 34 tahun itu semasa perjalanan perkhemahan padang pasir pertamanya.

    “Sesiapa sahaja boleh datang ke sini, di mana suasananya tenang, damai dan udaranya segar.”

    Jazairi sering terpaku pada telefonnya, menatal akaun media sosialnya. Tetapi perjalanan terbaharunya ke padang pasir Samawah ternyata satu pengalaman yang amat berbeza.

    “Media sosial adalah pekerjaan saya. Saya menerima notifikasi tanpa henti. Saya telah menghabiskan masa yang sangat lama dengan telefon sepanjang hari,” kata Jazairi.

    “Di sini, tiada rangkaian. Sudah dua hari dan bateri telefon saya masih 70 peratus. Saya belum menggunakannya.”

    Walaupun Jazairi menggalakkan orang ramai untuk menerokai bukit pasir yang luas di negara itu, dia memberi amaran bahawa ‘seseorang tidak sepatutnya pergi bersendirian, terutama jika ia merupakan pengembaraan kali pertama’.

    “Kami datang dengan pakar yang mengetahui tempat-tempat di sekitar kawasan tersebut.”

    Padang pasir Iraq telah lama menarik pemburu, baik penduduk tempatan mahupun pengunjung dari negara-negara Teluk yang berdekatan, sebelum konflik bertahun-tahun mendorong mereka berpindah.

    Hari ini, para pekhemah masih perlu berwaspada, kerana beberapa kawasan masih dipenuhi dengan periuk api, sementara sempadan dengan Arab Saudi, Iran dan Syria bersilang dengan laluan yang digunakan oleh penyeludup dadah atau pejuang IS.

    “Kami tidak memulakan sebarang perjalanan tanpa terlebih dahulu mengenal pasti di mana kami akan tidur,” kata Murad al-Bahadli, pekhemah dengan pengalaman lebih lapan tahun.

    “Kami merancang dengan teliti untuk mengelakkan sebarang risiko keselamatan,” tambah lelaki berusia 38 tahun itu.

    Namun, waktu malam di padang pasir yang tenang adalah jauh berbeza dengan tahun-tahun dibelenggu pergolakan dan bagi kebanyakan orang, tarikannya tiada tandingan.

    Antara mereka ialah Ravshan Mokhtarov, seorang Uzbek yang telah tinggal di Basra selama enam tahun.

    “Kawasan ini unik. Tiada orang, bahkan tidak ada bunyi,” kata lelaki muda itu.

    “Ia cukup selamat. Saya tidak merasakan sebarang bahaya”. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua askar, enam suspek militan terbunuh dalam pertempuran di Kashmir

    NEW DELHI, 7 JULAI – Dua anggota tentera dan enam suspek militan terkorban dalam dua pertempuran berasingan di Kashmir yang ditadbir India, menurut polis, hari...