Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara pendakian Gunung Kinabalu penuh mencabar

    Oleh Jailani Hasan

     

    KUNDASANG – Gunung Kinabalu bukanlah gunung tertinggi di dunia tetapi ramai memilih untuk mendakinya berikutan laluannya yang amat mencabar, walaupun bagi pendaki berpengalaman.

    Itulah pendapat Raime Awang selepas mendaki gunung itu beberapa kali sejak sedekad lepas.

    “Kami sangka pendakian kali ini pasti lebih mudah memandangkan kami sudah beberapa kali mendaki gunung ini. Namun, jangkaan kami meleset kerana laluan baharu itu sangat mencabar kemampuan mental dan fizikal kami,” kata ketua ekspedisi itu Raime Awang kepada Bernama.

    Tujuh pendaki dari Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) menyertai ekspedisi mendaki puncak tertinggi Asia itu bersempena ulang tahun ke-20 syarikat pengendali pelabuhan itu.

    Ekspedisi tiga hari itu adalah yang ketiga dianjurkan LLPM sempena ulang tahunnya.

    Gunung Kinabalu sememangnya merupakan salah satu destinasi kunjungan popular di Sabah, Malaysia. – Agensi
    Kawasan Gunung Kinabalu yang agak tinggi secara tidak langsung telah menjadikan kawasan persekitarannya berkabus. – Bernama

    Hadapi cabaran bersama

    Kumpulan itu berlepas dari Labuan pada 26 Ogos dengan menaiki feri selama satu jam setengah ke Menumbok sebelum memandu sejauh kira-kira 231 kilometer ke Kundasang. Mereka memulakan pendakian keesokannya dengan bantuan dua orang malim gunung.

    “Pendaki hendaklah sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan apa juga cabaran yang mendatang,” kata Raime.

    Ekspedisi Pendakian Gunung Kinabalu adalah acara pilihan sempena ulang tahun LLPM kerana ia memenuhi sebahagian moto syarikat iaitu ‘hadapi cabaran bersama’ selain berpegang kepada sikap tidak mudah mengaku kalah atau berputus asa dalam kalangan kakitangannya.

    “Ekspedisi itu adalah satu cabaran besar bagi kami walaupun lima daripada kami sudah beberapa kali mendaki gunung ini,” kata Raime.

    Ia merupakan pengalaman baharu bagi dua pendaki termasuk Mohammad Azarul Hakidin.

    “Ketika menghampiri puncak gunung, kami berdepan dengan beberapa kesukaran dengan keadaan suhu serta angin kuat menjadikan pendakian itu sangat mencabar.

    “Kami menggigil sehinggakan jari tidak dapat rasa apa-apa,” katanya.

    Mohammad Azarul berkata kejayaan menawan Gunung Kinabalu adalah hasil usaha kumpulan itu yang memastikan kesemua tujuh pendaki tiba di puncak.

    Beliau berterima kasih kepada pengasas LLPM dan ketua ekspedisi Datuk Seri Mohd Alias ??Abdul Rahman kerana memberinya peluang mewakili syarikat untuk mengibarkan bendera LLPM di puncak gunung itu.

    Sekumpulan pasukan pendaki Gunung Kinabalu berhenti berehat sebelum meneruskan kembara pendakian. – Bernama

    Baik untuk perniagaan

    Mohd Alias pula ??berkata walaupun terpaksa menghadapi cabaran getir, pendakian itu memberi pengajaran yang boleh diguna pakai dalam perniagaan.

    “Mendaki gunung mencabar anggota pasukan kami untuk mengembangkan kemahiran membuat keputusan dan kepimpinan. Keputusan yang dibuat, terutama berkaitan laluan tinggi, melibatkan pengurusan risiko dan ia banyak persamaan dalam proses membuat keputusan untuk perniagaan.

    “Kami mempunyai matlamat peribadi tersendiri (untuk tiba di puncak) dan matlamat utama pasukan (adalah memastikan semua selamat pulang ke rumah). Setiap perkara kecil perlu ditangani sebaik mungkin agar tidak menjadi punca kegagalan,” kata Mohd Alias.

    Beliau berpendapat sesiapa yang meminati bidang keusahawanan pasti tertarik dengan cabaran mendaki gunung.

    “Mereka sukakan ketidakpastian, usaha menghadapi ujian fizikal dan mental, kerjasama berpasukan dan matlamat yang jelas.

    “Kejayaan adalah dengan mencari rakan yang tepat, dan kemudian membina kepercayaan dan pengalaman dengan mereka supaya saling memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing. Saya dapati perkara ini serupa dalam perniagaan,” katanya.

    Ekspedisi pertama dianjurkan pada 2008 bersempena ulang tahun ke-10 LLPM dengan 10 daripada 15 pendaki berjaya sampai ke puncak. Ekspedisi kedua diadakan pada 2013 yang menyaksikan 18 daripada 25 pendaki tiba di puncak. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda