KAHERAH – Tiga jemaah haji dari Sepanyol telah mengembara ribuan kilometer dalam salji dan hujan serta melalui laluan yang mereka katakan tidak pernah dilalui selama lebih 500 tahun untuk menunaikan ibadah haji di Arab Saudi dengan menunggang kuda ke Mekah.
Abdelkader Harkassi Aidi, Tarek Rodriguez dan Abdallah Rafael Hernandez Mancha memulakan perjalanan dari selatan Sepanyol pada bulan Oktober tahun lalu, menunggang kuda melalui Perancis, Itali, Slovenia, Croatia, Bosnia, Serbia, Bulgaria, Turkiye, Syria dan Jordan sebelum tiba di Arab Saudi pada bulan Mei.
Ia merupakan detik penuh emosi bagi ketiga-tiga mereka apabila tiba di Mekah. Menurut mereka, tiada jemaah haji yang menempuh laluan ini sejak tahun 1491.
Harkassi berkata laluan mereka dari Sepanyol merentasi kira-kira 8,000 kilometer sebelum mereka sampai ke Kaabah, struktur berbentuk kiub hitam di Masjidilharam, Mekah.
“Kami telah merentasi ribuan kilometer untuk berada di sana dan Allah telah memperkenankan hajat kami,” katanya kepada The Associated Press dari Arafah, tenggara Mekah. “Kami berada di hadapan Kaabah dan diberi peluang untuk menyentuhnya. Maka, 8,000 kilometer itu menjadi tiada apa-apa.”
Sepanjang perjalanan yang mengambil masa berbulan-bulan itu, mereka menemui pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan dan tapak-tapak bersejarah di Syria, termasuk Kubu Aleppo dan Masjid Umaiyah.
Mereka juga menemui landasan kereta api lama yang dibina semasa pemerintahan Empayar Uthmaniyyah yang menghubungkan Istanbul ke Arab Saudi. Mereka mengikuti laluan itu selama beberapa hari sebagai panduan menuju ke tanah suci.
Namun, mereka turut menghadapi cabaran. Mereka kehilangan kuda di Bosnia, dan hanya menjumpainya semula di kawasan dipenuhi periuk api. Tiada siapa yang dapat mengambil kuda-kuda itu kerana kawasan tersebut dipenuhi bahan letupan, tetapi menurut Harkassi, haiwan-haiwan itu akhirnya berjaya keluar dari kawasan tersebut tanpa sebarang kecederaan.
Unsur kemanusiaan dalam perjalanan itu adalah yang paling bernilai bagi mereka, tambahnya.
“Ketika kami tidak mempunyai apa-apa, orang ramai membantu kami dengan kuda, makanan, malah memberikan wang. Apabila kereta bantuan kami rosak, mereka membaikinya untuk kami,” kata Harkassi. “Manusia sangat menakjubkan. Saya rasa ini membuktikan bahawa umat Islam bersatu, bahawa satu ummah yang dirindui setiap Muslim itu adalah satu realiti.” – AP