Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara sambil meneroka kuasa ajaib

    SEBUAH aksi kembara yang diterapkan bersama dengan elemen kuasa ajaib memang banyak dalam permainan video seperti siri Atelier dan Final Fantasy.

    Kini sebuah lagi permainan video yang turut menerapkan elemen yang sama berjudul Mages of Mystralia di mana plot ceritanya ditulis oleh Ed Greenwood yang sebelum ini pernah menghasilkan Dungeons & Dragons Forgotten Realms dan dikeluarkan oleh Borealys Games bakal menjadi pilihan hiburan para pemain.

    Kembara di alam Mystralia

    Permainan video ini menumpukan kepada watak Zia di dunia Mystralia yang mendapati bahawa dia memiliki kuasa untuk melancarkan kuasa ajaib di mana ia dipercayai merupakan satu kemahiran yang diwarisi secara turun-temurun dalam sejarah kehidupan keluarganya.

    Pada suatu hari, gadis tersebut secara tidak sengaja telah melancarkan kuasanya sehingga mengakibatkan keadaan huru-hara di kampungnya.

    Terokai dunia Mages of Mystralia yang cukup cantik dan menarik.
    Zia merupakan protagonis utama dalam Mages of Mystralia.

    Akibat daripada tindakan buruk yang tidak disengajakan itu telah membuatkan penduduk kampung menghalau Zia keluar dari Mystralia.

    Dari situ, Zia telah menanam azam untuk berusaha mengawal kemahiran kuasa ajaib yang diperolehinya itu dengan sebaiknya.

    Tanpa diduga, kawasan kampungnya telah diancam oleh sekumpulan makhluk jahat dan Zia yang telah berjaya mengawal kuasa ajaib yang dimilikinya merasakan menjadi satu tanggungjawab bagi dirinya untuk berusaha bagi mengembalikan keamanan di kampung halaman yang dicintainya itu.

    Lancarkan kuasa ajaib

    Sebagaimana dalam permainan video yang menerapkan aksi kembara fantasi, pemain akan mengawal watak protagonis utama bernama Zia yang akan berhadapan dengan banyak raksasa dan kumpulan penjahat yang cuba untuk menghalang dari mencapai misi yang ingin disempurnakan.

    Di samping itu, para pemain juga harus mengambil peluang untuk mengumpulkan setiap barangan dan harta yang ditemui di sepanjang kembara yang dilalui.

    Antara raksasa yang perlu dihadapi pemain.

    Ternyata seni grafik yang ditawarkan dalam permainan ini jelas sangat menarik dan begitu kreatif sehingga ia boleh membuatkan para pemain berasa terbuai ketika bermainnya.

    Ketika di awal permainan, para pemain akan hanya mampu untuk mengawal kuasa api, kilat dan angin pada peringkat asas.

    Namun sebaik permainan tersebut diteruskan, setentunya kuasa yang dikawal juga akan meningkat seperti para pemain berpeluang untuk menguasai kuasa tri-lightning, membekukan pihak musuh dan lain-lain.

    Selain itu, para pemain juga harus menyelesaikan beberapa teka-teki yang disediakan untuk menjayakan sesuatu misi itu.

    Justeru, sekiranya para pemain ingin mengalami sebuah aksi pengembaraan yang juga turut diselitkan dengan cabaran dan penguasaan kuasa ajaib jangan terlepas untuk mengalaminya sendiri dalam Mages of Mystralia yang dikeluarkan untuk pelantar Microsoft Windows, Playstation 4 dan Xbox One.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda