Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara sambil menghayati sejarah di Itali

    FLORENCE – Courtney Bonell mengongsikan pengalamannya sewaktu meluangkan masa lapangnya untuk bercuti bersama ibunya di Itali dan ia jelas kelihatan cukup menyeronokkan walaupun pada hakikatnya ibunya, Cathy Bonell kurang mahir untuk merakamkan gambar untuk disimpan menjadi kenangan.

    Antara yang dikongsi bersama adalah kebanyakan individu termasuk pelancong di Itali lebih memilih untuk menggunakan teksi sebagai pengangkutan untuk menghubungkan dari satu destinasi ke destinasi yang lainnya.

    Melancong jelas menjadi aktiviti kegemaran yang dilakukan oleh dua beranak ini terutama untuk meluangkan masa lapang bersama untuk mengenali secara lebih terperinci mengenai keagungan sejarah sesebuah kawasan, melawat muzium, menikmati pelbagai hidangan unik dan menarik sekaligus mengambil peluang itu ketika melawat beberapa buah kawasan menarik di Itali termasuk Florence, Milan dan juga kawasan perkampungan Tuscan.

    Justeru, dua beranak tersebut turut mengongsikan beberapa pengalaman menarik yang boleh diikuti oleh para pembaca terutama bagi yang memang mengidamkan atau merancang untuk bercuti di Itali.

    Menghayati sejarah di Florence

    Terlebih dahulu ketika tiba di bandar Florence, para pelancong harus mencari sebuah hotel penginapan yang berkualiti di mana sekaligus turut memberikan peluang untuk mendapatkan segala informasi berhubung mengenai tempat-tempat menarik yang ingin dilawati di sesebuah tempat tersebut.

    Galleria Vittorio Emanuele II merupakan antara pusat membeli-belah terkemuka di Itali yang menawarkan pelbagai berangan berjenama.
    Panorama yang menghala ke bandar Florence yang jelas mengekalkan nilai sejarah yang tersendiri – AP
    Dataran Montepulciano yang menonjolkan reka bentuk bangunan dengan nilai sejarahnya yang tersendiri.

    Di samping itu, jangan sesekali melepaskan peluang untuk menghilangkan rasa dahaga dan kepenatan di sepanjang pengembaraan di bandar ini dengan menikmati rasa keenakan aiskrim gelato yang dingin dan memiliki pelbagai perisa yang sangat menarik.

    Para pelancong juga tidak wajar untuk bergegas bagi menerokai keseluruhan empat muzium utama iaitu Accademia yang menampilkan koleksi karya Michelangelo, gereja San Marco, Muzium Palazzo Vecchio dan Galeri Uffizi yang sangat terkenal hanya dalam tempoh masa sehari.

    Setentunya pengalaman yang dialami dalam tempoh singkat untuk menerokai destinasi menarik itu hanya akan membuatkan anda berasa kecewa kerana tidak berpeluang untuk menghayati setiap tarikan yang ditawarkan oleh sesebuah destinasi tersebut dan kepuasan jelas dapat dirasakan sekiranya para pelancong melakukan siri lawatan tersebut dengan cara yang lebih santai.

    Dicadangkan kepada para pelancong untuk melakukan tempahan untuk mengunjungi ke destinasi-destinasi menarik itu secara lebih awal demi mengelakkan rasa kepenatan berikutan daripada terpaksa beratur panjang yang secara tidak langsung turut menjejakkan mood ketika melakukan siri lawatan tersebut.

    Di samping itu, khidmat jurupandu juga dapat digunakan ketika mengunjungi Galeri Uffizi yang menempatkan begitu banyak koleksi karya seni dan sejarah yang memiliki nilai yang sangat berharga.

    Antara koleksi berharga tersebut adalah lukisan The Birth of Venus karya Botticelli dan sebuah karya lukisan berjudul Tonda Doni yang merupakan satu-satunya karya lukisan Michelangelo yang dihasilkan pada sekitar 1506-1508 dan tetap bertahan sehingga kini.

    Ruangan High Renaissance yang menempatkan begitu banyak koleksi karya yang sangat berharga di Galeri Uffizi itu mula dibukakan bagi kunjungan orang awam bermula dari tahun 2013.

    Courtney Bonnel dan ibunya Cathy Bonnell jelas berasa seronok ketika berpeluang untuk menerokai beberapa buah bandar di Itali. – AP
    Panorama hijau jelas dapat dinikmati di sepanjang perjalanan menuju ke kawasan perkampungan Tuscany. – AP

    Setelah penat melawat beberapa tempat bersejarah, para pelancong dapat mengambil peluang untuk berehat sebentar untuk menikmati pelbagai hidangan menarik dan setentunya menu popular di Itali adalah pasta dan sebagai cadangan Mercato Centrale merupakan pasar dan juga medan selera yang turut menawarkan pelbagai jenis hidangan.

    Bagi menikmati panorama indah di bandar Florence pula para pengunjung tidak wajar untuk melepaskan peluang untuk mengunjungi Piazza Michelangelo yang menawarkan begitu banyak reka bentuk bangunan yang bertemakan dan bercirikan sejarah.

    Alami suasana era pertengahan di Tuscan

    Selepas puas menghayati sejarah di Florence, para pelancong boleh mengambil peluang untuk menelusuri kawasan perkampungan di Tuscan yang setentunya menjanjikan sebuah pengalaman menarik yang bertemakan era pertengahan.

    Di sepanjang perjalanan menuju kawasan perkampungan itu, para pelancong akan melalui kawasan berbukit yang menawarkan panorama indah menghala ke arah suasana tumbuh-tumbuhan yang menghijau.

    Para pelancong setentunya akan berasa ibarat seperti berada pada zaman pertengahan tatkala mengunjungi dataran Montepulciano yang menonjolkan reka bentuk bangunan dengan nilai sejarahnya yang tersendiri termasuk istana.

    Selepas itu para pelancong pula harus meneruskan kembara ke Siena untuk melihat secara lebih dekat lagi rekabentuk dataran Piazza del Compo yang juga merupakan sentuhan istimewa peninggalan sejarah daripada arkitek dan insan seni terkemuka, Donatello dan Michelangelo.

    Kawasan dataran yang cukup luas secara tidak langsung berjaya menarik orang awam untuk berpiknik di kawasan tersebut.

    Di samping itu, para pengunjung juga berpeluang untuk menikmati pelbagai hidangan yang ditawarkan di deretan kafe di sepanjang kawasan tersebut.

    Salah satu karya berjudul The Birth of Venus karya Botticelli juga turut ditampilkan di Galeri Uffizi.
    Pasta adalah merupakan antara hidangan popular di Itali.
    Suasana jualan di salah sebuah pasar aneka barangan di Itali.

    Menerokai bandaraya Milan

    Milan memang cukup terkenal sebagai ibu kota fesyen di mana ia sering menjadi lokasi bagi pementasan peragaan bagi jenama-jenama terkemuka dunia.

    Namun ia juga tidak terlepas daripada menawarkan pelbagai destinasi menarik yang memiliki nilai sejarahnya yang tersendiri.

    Untuk menghayati keindahan seni lukisan The Last Supper karya da Vinci pula adalah dicadangkan kepada para pelancong untuk melakukan tempahan sekurang-kurangnya sebulan lebih awal bagi mengelakkan rasa kekecewaan berikutan daripada kegagalan untuk mendapatkan ruang dan tempat bagi menghayati sendiri nilai seni lukisan yang sangat bersejarah itu.

    Antara destinasi yang turut menawarkan nilai seni dan sejarah di Milan adalah Muzium Seni Renaissance yang menawarkan beberapa hasil seni terkemuka yang dihasilkan pada era tersebut.

    Bagi golongan individu yang berkemampuan pula, jangan lepaskan peluang untuk membeli-belah barangan berjenama terkemuka seperti Prada di pusat membeli-belah terkemuka di Milan iaitu Galleria Vittorio Emanuele II yang setentunya ibarat syurga kepada individu yang gemar membeli-belah barangan berjenama terkemuka seperti Prada, Louis Vuitton, Hermes, Chanel dan sebagainya.

    Secara keseluruhan, kembara ke tiga bandaraya berbeza di Itali ini setentunya menjanjikan rasa kepuasan yang tersendiri dan cukup indah untuk dikenang. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda