Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara solo, sebuah pengalaman

    MALAYSIA – Bersendirian adalah nikmat yang tidak ramai dapat perolehi disebabkan oleh komitmen kerja, keluarga dan tanggungjawab sosial.

    Jika awda ingin mencari kebahagiaan masa bersendirian, awda boleh membuat pertimbangan untuk perkhemahan solo seperti Colin Chan.

    “Bukannya saya mahu bersendirian, tetapi saya lebih suka berkhemah pada waktu bekerja ketika kebanyakan tapak perkhemahan yang diuruskan hampir lengang.

    Tambahan pula, saya seronok menaiki motosikal, yang mana ia juga dilakukan oleh beberapa rakan saya,” jelasnya.

    Bersendirian membolehkan Chan menikmati perjalanan perkhemahannya dengan cara dan mengikut rentaknya sendiri.

    Khemah yang didirikan oleh Chan dengan skuter 175ccnya yang diletakkan berhampiran. – ANN/The Star
    Bekalan Chan terdiri daripada mi segera dan makanan ringan. – ANN/The Star
    Ruang khemah Chan direka untuk memuatkan empat hingga enam orang. – ANN/The Star
    Motosikal 115cc Chan dilengkapi dengan tayar tahan lasak dan peralatan perkhemahannya. – ANN/The Star

    Chan merupakan seorang yang minimalis – hanya mengemas semua peralatannya di atas motosikalnya.

    Chan membawa persediaan kabin yang luas berukuran 2.4 meter (m) dan 1.8m tinggi, membolehkannya berjalan terus ke dalam khemahnya.

    “Pada usia saya, jika menggunakan khemah seorang dan merangkak masuk dan keluar setiap kali, ia akan menyebabkan lutut dan belakang saya sakit,” kata lelaki berusia 68 tahun itu.

    Walaupun khemah kabin yang besar biasanya memerlukan dua orang untuk dibangunkan, Chan telah menguasai teknik tersebut dan boleh memasangnya sendirian.

    Chan juga membawa katil yang boleh dilipat untuk mengelak daripada angin sejuk, di mana kaki katil tersebut dibalut dengan menggunakan getah untuk mengelakkan kerosakan pada lantai khemah itu.

    Walaupun dia mengusahakan sebuah kafe di Melaka yang menawarkan hidangan Baba Nyonya, dia tidak mempamerkan kemahiran masakannya semasa berkhemah.

    “Saya cuma bawa biskut, mee segera, makanan dalam tin dan minuman kopi atau coklat tiga dalam satu.

    “Ia hanya dua malam berkhemah dan saya tidak mahu menyibukkan diri dengan penyediaan makanan,” jelasnya.

    Dia bangun sekitar jam 5 pagi untuk mempraktikkan teknik meditasi popular yang dikenali sebagai Mindfulness of the Breath.

    Amalan tersebut melibatkan tumpuan sepenuhnya pada menarik dan menghembuskan nafas, tanpa menghiraukan semua input deria lain.

    “Saya masih belum pandai bermeditasi. Tetapi saya dapati ia sebagai cara yang dapat membantu untuk menenangkan dan memberikan tumpuan pada diri,” ujar Chan.

    Pada siang hari, Chan menikmati suasana berjalan-jalan di kawasan alam semula jadi, menyusuri sungai yang biasanya ditemui di tapak perkhemahan, dan menghabiskan masa dalam introspeksi dan refleksi.

    “Apabila bersendirian dengan fikiran awda, terutamanya semasa berkhemah dengan tenang, awda berpeluang untuk merasai pengalaman baharu itu.

    “Terdapat juga keindahan alam semula jadi. Saya pernah ternampak seekor tapir besar sedang melalui khemah saya.

    “Kadang-kadang, seekor atau dua ekor anjing akan muncul. Ia sangat jinak dan saya juga memberikan anjing itu hidangan. Kemudian, anjing-anjing itu duduk di sekeliling khemah seolah-olah ia kepunyaan saya,” tambahnya lagi.

    Chan menyasarkan untuk pergi berkhemah menggunakan motosikal secara solo dua kali sebulan, dengan memilih tapak perkhemahan mudah diurus.

    Dia memiliki dua buah motosikal terdiri daripada sebuah skuter 175cc dan sebuah motosikal underbone 115cc, yang biasanya digelar sebagai kapcai.

    Memang diakui, ia memerlukan perancangan dan kemahiran untuk membungkus bekalan yang mencukupi bagi perjalanan perkhemahan yang menyenangkan dengan motosikal.

    Tetapi Chan telah mengenderai motosikal selama bertahun-tahun.

    Pada masa mudanya, dia juga pernah mengembara ke sempadan Kemboja dengan motosikal cruiser 1,250cc.

    Dia pertama kali melibatkan diri dengan perkhemahan sejak 1970an termasuk pernah mendaki ke puncak Gunung Ledang lebih 10 kali.

    “Saya suka berada di alam semula jadi. Terdapat rasa kebebasan yang istimewa apabila keluar sendirian,” katanya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda