PHNOM PENH, 13 JUN – Kemboja mengarahkan tenteranya untuk berada dalam keadaan ‘siap siaga sepenuhnya’ hari ini, susulan pertikaian sempadan yang berterusan dengan Thailand, selain mengarahkan stesen televisyen dan pawagam menghentikan tayangan drama dari Thailand.
Sehari sebelum rundingan antara kedua-dua negara bagi meredakan ketegangan susulan pertempuran maut bulan lalu, Kemboja memutuskan sambungan Internet yang disalurkan melalui Thailand, menyebabkan beberapa pengguna mengadu kelajuan internet menjadi perlahan.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam satu hantaran Facebook malam kelmarin berkata, Kemboja akan memutuskan semua jalur lebar internet dari Thailand.
Kementerian Penerangan dan Kebudayaan turut mengarahkan stesen televisyen dan pawagam menghentikan penyiaran siri TV dari Thailand.
Bekas pemimpin berpengaruh, Hun Sen bapa kepada Hun Manet hari ini telah menggesa kerajaan menghentikan ‘import barangan dari Thailand ke pasaran Kemboja’ sekiranya Thailand enggan menarik balik sekatan di pintu sempadan yang dikenakan sejak beberapa hari lalu, dan turut mengarahkan tentera agar sentiasa berjaga-jaga.
Beliau turut mengarahkan pihak berkuasa di wilayah berhampiran sempadan supaya bersedia memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih selamat. – AFP


