Wednesday, March 19, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemboja bakal rasmi pangkalan tentera laut Ream

    PHNOM PENH, 18 MAC – Kemboja akan merasmikan pangkalan tentera laut yang telah diubah suai oleh China pada bulan depan, kata jurucakap tentera hari ini, dengan sebuah kapal perang Jepun dijangka menjadi yang pertama berlabuh di tapak itu yang telah menimbulkan kebimbangan daripada Amerika Syarikat (AS).

    Washington berkata pangkalan tentera laut Ream, yang terletak di luar pantai selatan Kemboja, boleh memberikan Beijing kedudukan strategik utama di Teluk Thailand berhampiran Laut China Selatan yang dipertikaikan, yang dituntut hampir keseluruhannya oleh China.

    “Fasa pertama pangkalan Ream dirancang untuk dirasmikan pada 2 April,” beritahu Mejar Jeneral Thong Solimo, jurucakap Angkatan Bersenjata Diraja Kemboja (RCAF), kepada AFP.

    Ketua Komander RCAF, Vong Pisen memberitahu pegawai atase tentera Jepun mengenai jadual perasmian semasa mesyuarat hari ini, kata Thong Solimo, sambil menambah Kemboja akan ‘membenarkan kapal tentera Jepun berlabuh di pangkalan Ream terlebih dahulu’ selepas majlis memotong reben.

    Jeneral Chhum Socheat, jurucakap Kementerian Pertahanan, memberitahu AFP bahawa kapal dari ‘rakan Kemboja’ juga dibenarkan berlabuh di Ream selagi ia memenuhi syarat, sambil menambah beliau ‘tidak menafikan’ ia juga termasuk kapal AS.

    Kemboja telah lama menjadi salah satu sekutu paling rapat China di Asia Tenggara, dan Beijing telah meluaskan pengaruhnya ke atas Phnom Penh dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Di bawah bekas pemimpin Hun Sen – bapa Perdana Menteri Hun Manet – China telah mencurahkan berbilion dolar ke dalam pelaburan infrastruktur, manakala hubungan Washington dengan Phnom Penh telah merosot.

    Sejak 2022, China telah membiayai pengubahsuaian pangkalan tentera laut Ream yang pada asalnya dibina sebahagiannya menggunakan dana AS.

    Kapal perang China mula berlabuh di jeti sepanjang 363 meter itu pada Disember 2023. – AFP

    Gambar fail menunjukkan anggota tentera laut Kemboja berdiri di atas bot peronda di Pangkalan Tentera Laut Ream di Sihanoukville, barat daya Phnom Penh. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda