PHNOM PENH, 19 MAC – Kemboja akan merasmikan pangkalan tentera laut yang telah diubah suai oleh China bulan depan, kata jurucakap tentera kelmarin, dengan sebuah kapal perang Jepun dijangka menjadi yang pertama berlabuh di tapak yang telah menimbulkan kebimbangan daripada Amerika Syarikat (AS).
Washington berkata pangkalan tentera laut Ream, yang terletak di luar pantai selatan Kemboja, boleh memberikan Beijing kedudukan strategik utama di Teluk Thailand berhampiran Laut China Selatan.
“Fasa pertama pangkalan Ream dirancang untuk dirasmikan pada 2 April,” kata jurucakap Angkatan Bersenjata Diraja Kemboja (RCAF), Mejar Jeneral Thong Solimo, kepada AFP.
Ketua Komander RCAF, Vong Pisen, berkata kepada pegawai atase tentera Jepun mengenai jadual semasa mesyuarat kelmarin, Thong Solimo berkata, sambil menambah Kemboja akan membenarkan kapal tentera Jepun berlabuh di pangkalan Ream terlebih dahulu selepas acara pemotongan reben.
Sementara itu, jurucakap kementerian pertahanan, Jeneral Chhum Socheat, berkata kepada AFP bahawa kapal dari Kemboja juga akan dibenarkan berlabuh di Ream selagi ia memenuhi syarat, sambil menambah beliau tidak menafikan ia juga termasuk kapal AS.
Kemboja telah lama menjadi salah satu sekutu paling teguh China di Asia Tenggara, dan Beijing telah meluaskan pengaruhnya ke atas Phnom Penh dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Di bawah bekas pemimpin Hun Sen – bapa Perdana Menteri Hun Manet – China telah membelanjakan berbilion dolar ke dalam pelaburan infrastruktur, manakala hubungan Washington dengan Phnom Penh semakin merosot.
Sejak 2022, China telah membiayai pengubahsuaian pangkalan tentera laut Ream yang pada asalnya dibina sebahagiannya menggunakan dana AS. – AFP
