Wednesday, December 25, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemboja catat 4.8 juta pelancong antarabangsa

    PHNOM PENH, 23 OKT – Kemboja menarik seramai 4.8 juta pelawat asing dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, meningkat 22 peratus berbanding 3.92 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut laporan Kementerian Pelancongan yang dikeluarkan hari ini, dipetik oleh Xinhua.

    “Jumlah ini mencapai 99.7 peratus daripada angka pada sembilan bulan pertama 2019, sebelum era pandemik COVID-19,” menurut laporan itu.

    Thailand terus mendahului carta kedatangan pelancong antarabangsa ke Asia Tenggara dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, diikuti Vietnam, China, Laos dan Amerika Syarikat. Setiausaha Negara dan jurucakap Kementerian Pelancongan Kemboja, Top Sopheak, berkata Kemboja merupakan destinasi pelancongan budaya dan ekologi.

    “Negara ini terkenal dengan Taman Arkeologi Angkor, sebuah tapak warisan dunia yang diiktiraf UNESCO di wilayah barat laut Siem Reap, dan teluk yang indah di barat daya Sihanoukville,” katanya kepada Xinhua.

    Selain itu, negara ini juga mempunyai tiga lagi tapak warisan dunia, iaitu Zon Kuil Sambor Prei Kuk di wilayah tengah Kampong Thom, Kuil Preah Vihear, dan tapak arkeologi Koh Ker di wilayah barat laut Preah Vihear.

    Pelancongan adalah satu daripada empat tonggak yang menyokong ekonomi Kemboja, selain eksport pakaian, kasut dan barangan perjalanan, pertanian serta pembinaan dan hartanah.

    Negara itu menerima 5.45 juta pelancong antarabangsa pada 2023, menjana pendapatan kasar sebanyak AS$3.08 bilion, menurut kementerian itu. – Bernama

    Penumpang mendaftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap Angkor di wilayah Siem Reap, Kemboja pada 16 Oktober. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda