PHNOM PENH, 10 JULAI – Kemboja merekodkan kira-kira 7,000 kes demam denggi pada separuh pertama 2025, hampir sama dengan jumlah kes bagi tempoh sama tahun lalu, lapor Xinhua hari ini memetik pegawai kesihatan.
Bagaimanapun, jumlah kematian akibat penyakit itu menurun kepada 15 dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 23 dalam tempoh sama tahun lalu, kata Pengarah Pusat Parasitologi, Entomologi dan Kawalan Malaria Kebangsaan, Huy Rekol.
“Kesemua pesakit yang meninggal dunia setakat ini pada 2025 adalah kanak-kanak,” katanya kepada Xinhua. “Kematian berlaku kerana ibu bapa atau penjaga menghantar anak mereka ke hospital lewat,” tambahnya.
Beliau berkata, ibu bapa atau penjaga perlu segera membawa anak yang disyaki dijangkiti virus denggi ke pusat kesihatan atau hospital kerajaan dalam tempoh 48 jam.
Demam denggi adalah penyakit virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes yang aktif pada waktu siang.
Di negara Asia Tenggara itu, kemuncak tempoh wabak denggi biasanya berlaku pada musim hujan dari Mei hingga Oktober.
Kementerian Kesihatan hari ini turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap demam denggi, dengan menyatakan penyakit itu menunjukkan peningkatan sejak akhir April dan mungkin terus meningkat susulan peningkatan hujan. – Bernama
