Tuesday, April 8, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemboja catat kelahiran ke-6 anak ikan lumba-lumba tahun ini

    PHNOM PENH, 6 APRIL – Seekor lagi anak lumba-lumba Irrawaddy Mekong telah dilahirkan, menjadikan jumlah anak ikan lumba-lumba yang direkodkan di Kemboja bagi tahun ini meningkat kepada enam, menurut kenyataan Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan (MAFF) kelmarin.

    Anak ikan lumba-lumba yang dianggarkan berusia sekitar empat hari itu dikesan pada Jumaat di kawasan kolam lumba-lumba Kampi di daerah Chetr Borei, wilayah Kratie, oleh pasukan penyelidik dari Pentadbiran Perikanan dan Tabung Alam Sedunia (WWF).

    “Anak lumba-lumba ini dilihat berenang bersama sekumpulan lima ekor lumba-lumba dewasa,” kata kenyataan tersebut. “Ini adalah anak keenam yang dilahirkan pada tahun 2025.”

    Lumba-lumba Irrawaddy di Sungai Mekong telah disenaraikan sebagai spesies kritikal terancam oleh Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN) sejak tahun 2004.

    Pada tahun 2024, Kemboja merekodkan sembilan kelahiran anak lumba-lumba, namun empat daripadanya mati, menurut data yang sama.

    MAFF menganggarkan terdapat sekitar 110 ekor lumba-lumba Irrawaddy yang masih hidup di sepanjang 120 kilometer saluran utama Sungai Mekong yang merentasi wilayah timur laut Stung Treng dan Kratie.

    Usaha konservasi diteruskan bagi memastikan kelangsungan spesies unik itu yang menjadi ikon biodiversiti Sungai Mekong dan daya tarikan pelancongan penting di Kemboja. – Xinhua

    Seekor ikan lumba-lumba Mekong Irrawaddy yang baru lahir berenang di Sungai Mekong di wilayah Kratie, Kemboja pada 4 April. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda