Tuesday, July 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemboja digesa hentikan serang pembangkang

    PHNOM PENH, Kemboja, 10 Okt – Kesatuan Eropah dan kumpulan hak asasi berkata tindakan kerajaan Kemboja untuk membubarkan parti pembangkang utama akan memberi tamparan hebat kepada demokrasi yang melemahkan kredibiliti pilihan raya pada tahun depan.

    Pengawas Hak Asasi Manusia berkata hari ini kerajaan Perdana Menteri Hun Sen sedang “merebut kuasa menyeluruh.”

    Kerajaan Kemboja mengambil langkah undang-undang awal pada minggu lalu untuk membubarkan Parti Menyelamat Nasional Kemboja, tindakan terbaru untuk melumpuhkan pembangkang sebelum pilihan raya umum pada tahun depan.

    Dua parti politik kecil yang dipercayai beroperasi bagi pihak kerajaan telah meminta Mahkamah Tinggi supaya membubarkan pembangkang berdasarkan sebab-sebab ia didakwa terbabit dalam satu komplot untuk mengguling pentadbiran Hun Sen.

    Pengawas Hak Asasi Manusia bersama kumpulan hak asasi lain dan Kesatuan Eropah telah meminta kerajaan supaya menggugurkan kes mahkamah.

    “Kerajaan yang masih menegaskan bahawa Kemboja diperintah secara demokratik harus bertindak untuk menterbalikkan tindakan ini, atau berkongsi peranan yang menyumbang kepada kemusnahan demokrasi di bawah pemerintahan autokratik Hun Sen,” kata Pengawas Hak Asasi Manusia. Satu kenyataan EU berkata situasi adalah “amat membimbangkan” dan menggesa kerajaan supaya menimbang semula langkah perundangan.

    CNRP adalah satu-satunya parti selain daripada parti pemerintah Parti Rakyat Kemboja yang mempunyai wakil dalam parlimen, dan tidak ada parti ketiga yang mempunyai persaingan daripada segi kepopularan dan sokongan. CNRP memberi cabaran kuat dalam pilihan raya umum 2013 dan kerajaan telah mengambil langkah untuk memperkukuh cengkamannya ke atas kuasa.

    Ia telah menafikan bahawa ia berusaha mengguling kerajaan, berkata dakwaan berkenaan adalah bermotifkan politik. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda