PHNOM PENH, 20 FEB – Kemboja berharap untuk mengimport empat ekor harimau dari India tahun ini di bawah perjanjian yang ditandatangani dengan New Delhi, yang bertujuan untuk memulihkan populasi harimau di negara itu, kata seorang pegawai alam sekitar, kelmarin.
Hutan kering di Kemboja pernah menjadi rumah kepada beberapa ekor harimau Indochina tetapi ahli pemuliharaan berkata pemburuan haram kedua-dua harimau dan mangsanya telah memusnahkan bilangan haiwan tersebut.
Penampakan terakhir harimau di negara Asia Tenggara itu adalah daripada perangkap kamera pada 2007 dan harimau itu diisytiharkan pupus di Kemboja pada 2016.
“Seekor harimau jantan dan tiga lagi betina dijangka tiba di Kemboja pada penghujung 2024,” kata jurucakap Kementerian Alam Sekitar, Khvay Atitya, kepada AFP.
Harimau itu akan dihantar ke hutan seluas 90 hektar di dalam Santuari Hidupan Liar Tatai di wilayah barat Koh Kong untuk menyesuaikan diri sebelum dilepaskan ke dalam hutan, katanya.
Beliau tidak memberikan butiran mengenai jenis harimau yang akan diimport dari India.
Sekurang-kurangnya 12 ekor harimau lagi akan diimport dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya projek itu berjalan lancar, katanya.
Penebangan hutan dan pemburuan haram telah menjejaskan bilangan harimau di seluruh Asia.
Kemboja, Laos dan Vietnam semuanya telah kehilangan populasi asal mereka, manakala Myanmar dianggap hanya mempunyai 23 ekor harimau di dalam hutan. – AFP