PHNOM PENH, 4 FEB – Kementerian Kesihatan Kemboja memberi amaran hari ini, e-rokok, shisha dan produk tembakau yang dipanaskan (HTP) telah menyebabkan kesan serius terhadap kesihatan pengguna, dan menggesa orang ramai, terutamanya para belia, untuk tidak mencuba produk tersebut.
“Kementerian Kesihatan amat prihatin kebanyakan e-rokok, shisha dan HTP direka dengan cantik, menarik kepada golongan muda untuk mencuba,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Walaupun negara itu telah mengharamkan import, perdagangan dan penggunaan e-rokok, shisha dan HTP sejak 2014, sesetengah golongan masih menjual produk ini di platform media sosial dengan kandungan berlebihan mendakwa ia adalah alat untuk berhenti merokok dan lebih selamat daripada rokok, kata kenyataan tersebut.
“Malah, e-rokok, shisha dan HTP benar-benar menyebabkan bahaya kepada kesihatan dan masyarakat,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, e-rokok dan HTP mengandungi nikotin yang boleh memberi kesan lebih serius kepada kesihatan berbanding rokok, dan produk itu digunakan bersama ganja dan ubat lain, manakala shisha mengandungi toksin yang tinggi.
“Produk ini boleh menyebabkan penyakit paru-paru yang serius, kanser paru-paru, penyakit jantung, kerosakan kepada perkembangan otak, kelahiran pramatang, ketidaksuburan, kanser perut dan kanser pundi kencing,” tambahnya.
“Kementerian Kesihatan menyeru golongan muda supaya tidak mencuba produk ini sekali pun, dan tidak mempercayai sebarang iklan yang mendakwa e-rokok, shisha dan HTP adalah alat untuk berhenti merokok,” kata kenyataan itu. – Xinhua


