PHNOM PENH, 11 DIS – Kerajaan Kemboja kelmarin telah mengharamkan minuman tenaga di sekolah, susulan peningkatan ketara kes diabetes dalam kalangan belia di negara tersebut.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Belia dan Sukan, Hang Chuon Naron berkata langkah tersebut bertujuan mencegah risiko penyakit tidak berjangkit, terutamanya diabetes, yang dikaitkan dengan pengambilan minuman bergula dan minuman tenaga.
“Penggunaan, pengedaran, penjualan dan pengiklanan semua jenis minuman tenaga di dalam dan sekitar kawasan sekolah adalah dilarang sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Larangan itu berkuatkuasa di semua institusi pendidikan awam dan swasta, termasuk institusi pendidikan teknikal di seluruh negara, tambah beliau.
Hang Chuon Naron turut meminta pihak sekolah agar memberi peringatan kepada pelajar tentang bahaya minuman tenaga apabila mereka mengadakan perhimpunan menaikkan bendera kebangsaan.
Selain itu, beliau mengarahkan pihak sekolah untuk merampas minuman tenaga daripada peniaga di kawasan sekolah serta membatalkan kontrak penyewaan gerai mereka sekiranya melanggar arahan tersebut.
Langkah itu diambil hanya beberapa jam selepas Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes diabetes di negaraitu. Beliau turut meminta Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan mengambil tindakan untuk mencegah penyakit itu dalam kalangan pelajar.
“Ada kanak-kanak yang mengambil sehingga tiga tin minuman bergula atau minuman tenaga setiap hari,” katanya semasa majlis pecah tanah Hospital Universiti Sains Kesihatan di Phnom Penh.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Chheang Ra menyatakan diabetes kini menjadi salah satu punca utama kematian di Kemboja. Beliau berkata walaupun penyakit berjangkit sebelum ini menjadi penyebab utama kematian, penyakit tidak berjangkit kini menyumbang lebih separuh daripada jumlah kematian. – Xinhua