Wednesday, September 18, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemboja kecam sekatan AS terhadap sekutu Hun Sen

    PHNOM PENH, 13 SEPT – Kemboja hari ini menyelar sekatan Amerika Syarikat (AS) yang ‘tidak adil’ terhadap seorang taikun dan penasihat bekas pemimpin Hun Sen atas dakwaan pencabulan berkaitan pemerdagangan manusia di pusat penipuan dalam talian.

    Pejabat Kawalan Aset Asing Jabatan Perbendaharaan AS kelmarin mengumumkan sekatan terhadap senator parti pemerintah Kemboja dan taikun, Ly Yong Phat, sekutu rapat Hun Sen.

    Beberapa entiti perniagaan milik Ly Yong Phat juga telah dikenakan sekatan atas dakwaan peranannya dalam pencabulan hak asasi manusia yang serius terhadap pekerja yang dipaksa bekerja dalam operasi penipuan pelaburan dalam talian.

    Tindakan itu dibuat ‘bagi menuntut tanggungjawab mereka yang terlibat dalam pemerdagangan manusia’, kata pemangku setiausaha bawah perbendaharaan untuk keganasan dan risikan kewangan dalam satu kenyataan.

    Langkah itu juga bertujuan untuk ‘mengganggu keupayaan mereka mengendalikan skim penipuan pelaburan yang menyasarkan begitu ramai individu, termasuk rakyat Amerika’, katanya.

    Pelaku dalam syarikat-syarikat itu telah memaksa mangsa bekerja sehingga 15 jam sehari dan dalam beberapa kes telah menjual semula mangsa kepada operasi penipuan lain atau menjadikan mereka mangsa pemerdagangan seks, kata kenyataan itu.

    Kementerian Luar Kemboja hari ini menyatakan ‘penyesalan mendalam terhadap keputusan yang tidak adil’ untuk mengenakan sekatan terhadap Ly Yong Phat dan perniagaannya.

    “Langkah ini, berdasarkan laporan yang belum disahkan mengenai buruh paksa yang dikaitkan dengan penipuan pelaburan dalam talian, yang bermotifkan politik dan bertentangan dengan semangat memperkukuh kerjasama dua hala dan saling mempercayai,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.– AFP

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda