Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemboja kurangkan hukuman penjara 245 banduan

    PHNOM PENH, 7 JAN – Kemboja telah meringankan hukuman penjara untuk 245 banduan, termasuk 28 wanita, pada ulang tahun ke-45 Hari Kemenangan hari ini, kata seorang jurucakap.

    “Atas permintaan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni telah mengurangkan hukuman penjara bagi 245 banduan pada kesempatan ini,” kata Setiausaha Negara dan Jurucakap Kementerian Kehakiman, Kim Santepheap dalam satu catatan di laman Facebook pejabatnya.

    Beliau berkata 244 banduan telah dikurangkan tempoh penjara antara tiga bulan dan satu tahun dan seorang banduan dikurangkan hukuman penjara seumur hidup kepada 30 tahun.

    Di bawah undang-undang kerajaan, seorang banduan layak mendapat pengampunan diraja dengan syarat dia telah menjalani sekurang-kurangnya dua pertiga daripada hukuman penjara dan berkelakuan baik di penjara.

    Untuk pengurangan hukuman penjara, banduan yang berkelakuan baik, yang telah menjalani satu pertiga daripada tempoh penjara, akan melihat hukuman penjaranya dikurangkan antara tiga bulan dan satu tahun.

    Menurut Santepheap, banduan-banduan yang telah melakukan jenayah serius seperti pembuatan atau pengedaran dadah, kekejaman, rogol berkumpulan, rogol kanak-kanak dan rogol sumbang mahram, tidak dipertimbangkan untuk pengampunan, mahupun pengurangan hukuman penjara.

    Negara Asia Tenggara itu biasanya mengampuni atau mengurangkan hukuman penjara bagi banduan pada acara-acara Hari Kemenangan, Tahun Baru Khmer, Hari Lahir Buddha, Hari Kemerdekaan dan Festival Air. – Xinhua

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda