KAMPOT, 21 APRIL – Kemboja hari ini telah merasmikan sebuah pelabuhan pelancongan bernilai AS$10 juta di wilayah pesisir barat daya Kampot, dengan matlamat untuk memajukan sektor pengangkutan maritim negara itu.
Terletak di daerah Teuk Chhou, Pelabuhan Pelancongan Antarabangsa Kampot yang berkeluasan 4.2 hektar ini mempunyai kedalaman air tiga meter dan mampu menampung kapal yang membawa sehingga 300 penumpang atau pelancong.
Bercakap pada majlis perasmian, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet berkata pelabuhan itu akan memainkan peranan penting dalam menarik lebih ramai pelancong ke kawasan pantai dan pulau-pulau di negara itu.
“Pelabuhan itu akan merancakkan sektor pelancongan negara, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi tempatan dan mata pencarian rakyat,” katanya.
Perdana Menteri turut menambah pelabuhan ini akan menjadi penghubung bagi pelancong laut dari Thailand dan Vietnam.
Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan, Peng Ponea berkata pembinaan pelabuhan bermula pada Ogos 2018 dan siap sepenuhnya pada Jun 2022 dengan pembiayaan pinjaman bernilai AS$10 juta daripada Bank Pembangunan Asia (ADB).
Beliau memaklumkan sehingga kini, negara Asia Tenggara itu mempunyai sejumlah 119 pelabuhan termasuk 31 pelabuhan laut dan 88 pelabuhan sungai.
Pelancongan membentuk salah satu daripada empat tonggak utama ekonomi Kemboja.
Negara itu dijangka menarik sehingga 7.5 juta pelancong antarabangsa pada 2025, meningkat daripada 6.7 juta pada 2024, kata Kementerian Pelancongan Kemboja. – Xinhua
