PHNOM PENH, 4 MEI – Kemboja dan Laos hari ini berikrar untuk memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala untuk faedah bersama, kata seorang pegawai kanan Kemboja.
Komitmen itu dibuat semasa mesyuarat yang diadakan di sini antara Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen dan Presiden Laos, Thongloun Sisoulith yang sedang dalam lawatan, kata Eang Sophalleth, pembantu peribadi Hun Sen.
Beliau berkata kedua-dua pemimpin itu amat menghargai perkongsian strategik komprehensif jangka panjang antara kedua-dua negara anggota ASEAN dengan berikrar untuk meningkatkannya ke tahap tertinggi baharu.
“Thongloun berkata adalah penting bagi kedua-dua negara untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang pelancongan, pelaburan, keselamatan dan tindak balas bencana,” kata Sophalleth kepada pemberita selepas mesyuarat itu.
Bagi pihaknya, Hun Sen bersetuju dengan kenyataan Thongloun, mencadangkan kedua-dua negara berjiran itu perlu merangka perjanjian mengenai pengelakan cukai berganda bagi meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan dua hala.
Hun Sen turut berterima kasih kepada Presiden Laos kerana datang ke Kemboja untuk majlis perasmian Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-32, yang dijadualkan esok di Stadium Nasional Morodok Techo di Phnom Penh.
Thongloun tiba di Phnom Penh pada pagi ini untuk lawatan negara selama tiga hari atas jemputan Raja Kemboja, Norodom Sihamoni. – Xinhua


