PHNOM PENH, 20 DIS – Kemboja hari ini melaporkan sifar kematian COVID-19, yang pertama sejak gelombang ketiga tercetus di negara itu pada Februari lalu, Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen menjelaskan.
“Hari ini, buat pertama kali dalam 10 bulan, Kemboja menyaksikan tiada kematian dan hanya tujuh kes jangkitan baharu,” katanya dalam satu mesej suara kepada orang awam yang dikeluarkan.
“Saya sukacita mengumumkan bahawa penularan komuniti COVID-19 bermula 20 Februari lalu kini sudah berakhir, namun perjuangan kita menentang COVID-19 masih lagi berterusan,” tambahnya.
Hun Sen menyifatkan liputan vaksinasi tinggi sebagai kejayaan mengekang jangkitan, mengatakan vaksin melindungi nyawa rakyat Kemboja.
“Mengambil peluang ini, saya mahu menyampaikan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada China kerana menjadi rujukan strategik dalam bekalan vaksin COVID-19 kepada Kemboja,” katanya.
Negara itu melancarkan kempen vaksinasi COVID-19 pada 10 Februari dengan China menjadi pembekal vaksin utamanya.
Kebanyakan suntikan digunakan dalam kempen inokulasinya adalah vaksin Sinovac dan Sinopharm. – Xinhua