PHNOM PENH, 28 MEI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menjadi mangsa keempat selesema burung di Kemboja tahun ini, menggandakan jumlah kematian berbanding tahun lalu, menurut pihak berkuasa hari ini.
Menurut sebuah kenyataan daripada Kementerian Kesihatan, kanak-kanak yang berasal daripada wilayah Kampong Speu di barat negara itu mengalami ‘demam, batuk, dan kesukaran bernafas’ sebelum dimasukkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia kelmarin.
Institut Pasteur Kemboja mengesahkan ujian mendapati kanak-kanak tersebut positif virus H5N1 yang menyebabkan selesema burung.
Menurut kenyataan itu, ayam dan itik di sekitar rumah mangsa dilaporkan sakit dan mati kira-kira seminggu sebelum beliau menunjukkan simptom.
Seorang lelaki berusia 28 tahun yang membela ayam di rumah meninggal dunia akibat virus sama pada Januari.
Dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun pula meninggal dunia pada Februari dan Mac.
Virus H5N1 lazimnya menjangkiti manusia melalui sentuhan langsung dengan unggas yang dijangkiti atau berada dalam persekitaran berisiko tinggi seperti ladang atau pasar haiwan hidup, namun penularan antara manusia kekal jarang berlaku.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 43 orang meninggal dunia akibat selesema burung di Kemboja antara tahun 2003 hingga 2024.
Tiada kes dilaporkan antara 2014 hingga 2022, namun WHO mencatat peningkatan semula dengan empat kematian pada 2023 dan dua kes pada tahun lalu. – AFP
