Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemboja lulus pindaan perlembagaan

    PHNOM PENH, 11 JULAI – Perhimpunan Kebangsaan Kemboja sebulat suara meluluskan draf pindaan perlembagaan bagi melucutkan kewarganegaraan individu yang melakukan pengkhianatan atau bekerjasama dengan pihak asing untuk melemahkan kerajaan.

    Kesemua 125 anggota Perhimpunan Kebangsaan meluluskan pindaan terhadap Perkara 33 Perlembagaan Kemboja dalam sesi Parlimen yang diadakan hari ini.

    Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kehakiman, Koeut Rith, berkata langkah itu bertujuan melindungi kedaulatan Kemboja dengan menyasarkan individu yang bertindak menentang kepentingan negara.

    “Inisiatif ini bertujuan mempertahankan kedaulatan negara dengan menyasarkan individu yang bersekongkol dengan kuasa asing untuk melemahkan negara.

    “Langkah ini tidak akan menjejaskan rakyat yang kekal setia kepada Kemboja,” katanya seperti dipetik agensi berita negara itu, Agence Kampuchea Presse.

    Cadangan untuk melucutkan kewarganegaraan itu dikemukakan ketika ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand memuncak sejak 28 Mei.

    Pindaan yang diluluskan hari ini membuka laluan bagi mewujudkan kerangka undang-undang untuk melaksanakan pelucutan kewarganegaraan.

    Rith turut berkata, Kemboja bukan satu-satunya negara yang sedang menggubal undang-undang sedemikian. – Bernama

    Gambar menunjukkan penggubal undang-undang mengundi untuk meluluskan pindaan perlembagaan di Phnom Penh, Kemboja pada 11 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda