PHNOM PENH, 26 JUN – Kemboja membakar lebih enam tan metrik dadah dan bahan terlarang hari ini sempena Hari Antidadah Antarabangsa, kata pegawai.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Sar Kheng membakar bahan terlarang yang dirampas itu pada satu majlis yang diadakan di Pulau Berlian di ibu negara Phnom Penh, lapor Xinhua.
“Acara itu jelas menggambarkan kesediaan dan komitmen teguh kerajaan Kemboja untuk mencegah dan menyekat semua bentuk dadah terlarang,” katanya.
Kheng menambah bahawa pihak berkuasa akan memperhebat tindakan keras terhadap semua jenis jenayah dadah dan pengubahan wang haram. – Bernama
