PHNOM PENH, 1 MEI – Ketika Kemboja menyambut ulang tahun ke-26 penyertaannya dalam ASEAN kelmarin, negara itu menyasarkan untuk muncul sebagai pintu masuk strategik ke blok perdagangan serantau yang mempunyai lebih 670 juta penduduk.
Kemboja menyertai ASEAN sebagai anggota ke-10 pada 30 April 1999 di Hanoi, selepas melalui tempoh panjang konflik dalaman.
Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja menegaskan bahawa ASEAN sentiasa menjadi komponen penting dalam dasar luar negara itu sejak menyertai blok berkenaan.
“Dengan penyertaan rasmi Kemboja ke dalam ASEAN dalam majlis khas di Hanoi pada 30 April 1999, separuh daripada visi Pengasas ASEAN untuk menyatukan semua negara Asia Tenggara di bawah satu naungan telah direalisasikan,” menurut bekas Pengarah Sekretariat ASEAN (1993-2012), Termsak Chalermpalanupap.
“Selepas Vietnam, kehadiran Laos dan Myanmar pada 1997 serta Kemboja pada 1999 telah menambah kepelbagaian politik dalam ASEAN,” kata Termsak, yang kini berkhidmat di Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura. – Bernama
