PHNOM PENH, 13 FEB – Kemboja merekodkan satu lagi kes mpox, juga dikenali sebagai cacar monyet, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu kepada 10 sejak Disember lalu, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan, hari ini.
“Hasil makmal dari Institut Kesihatan Awam Negara kelmarin menunjukkan seorang lagi lelaki positif mpox, jadi jumlah kes yang disahkan di Kemboja telah meningkat kepada 10 orang,” kata kementerian itu.
Pesakit yang tinggal di daerah Dangkao, Phnom Penh, telah menjalani rawatan sewajarnya di sebuah hospital.
Kementerian itu berkata trend penularan mpox di negara Asia Tenggara itu semakin meningkat, memperbaharui seruan agar orang ramai lebih berhati-hati.
Ia berkata virus mpox ditularkan daripada orang ke orang melalui semua bentuk hubungan seksual dengan orang yang menghidap mpox dan melalui sentuhan langsung dengan luka, cecair badan, air liur, dan peralatan yang tercemar dengan virus itu.
Ia menambah mpox boleh ditularkan daripada ibu kepada anak melalui tali pusat semasa atau selepas kelahiran jika wanita hamil menghidap penyakit itu. – Xinhua


