PHNOM PENH, 24 OKT – Pihak berkuasa Kemboja hari ini menyatakan bahawa 57 warga Korea Selatan yang dilaporkan ditahan minggu ini kerana didakwa terlibat dalam sindiket siber transnasional sebenarnya telah ditahan semasa serbuan pada Julai lalu.
Industri penipuan bernilai berbilion dolar telah berkembang pesat di Kemboja dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan ribuan individu terlibat, ada yang secara sukarela dan sebahagiannya dipaksa oleh kumpulan jenayah terancang, menurut pakar.
Suruhanjaya anti-jenayah siber Kemboja kelmarin melaporkan 57 warga Korea Selatan dan 29 warga China ditahan minggu ini semasa serbuan di Phnom Penh terhadap sebuah bangunan yang didakwa digunakan untuk operasi penipuan dalam talian.
Dalam kenyataan baharu dikeluarkan hari ini, suruhanjaya itu berkata delegasi ahli parlimen Korea Selatan pada Rabu melawat bangunan berkenaan yang merupakan tapak digunakan untuk melakukan penipuan dalam talian pada Julai lalu.
Kenyataan itu menegaskan 57 warga Korea Selatan dan 29 suspek warga China ditahan semasa serbuan Julai ke atas bangunan tersebut.
Kementerian Luar Korea Selatan memberitahu AFP kelmarin, ramai daripada 57 warganya yang ditahan oleh polis Kemboja pada Julai telah dipulangkan pada 18 Oktober.
Pada hujung minggu, Kemboja memulangkan 64 warga Korea Selatan yang ditahan kerana didakwa terlibat dalam skim ‘pig butchering’ di mana pelaku membina kepercayaan dengan mangsa dalam talian sebelum mencuri dana. – AFP


