Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemboja saran setiap individu terima dos penggalak

    PHNOM PENH, 3 JAN – Setiausaha Kementerian Kesihatan Kemboja, Or Vandine, bersama-sama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terus menggalakkan setiap individu di negara itu untuk kekal divaksinasi dan menerima suntikan penggalak COVID.

    Dalam perutusan Malam Tahun Baharunya, Vandine menggesa orang ramai untuk kekal berwaspada sepanjang 2024, dengan menyatakan kepentingan melindungi daripada varian COVID baharu, Omicron JN.1, yang merebak di rantau itu dan Kemboja.

    “Setiap orang harus menerima vaksin COVID secara berkala setiap lapan hingga 12 bulan untuk melindungi diri mereka dan orang tersayang,” katanya.

    Maria Van Kerkhove, pakar penyakit berjangkit yang menerajui tindak balas teknikal WHO terhadap koronavirus, menyatakan pada awal Disember bahawa suntikan penggalak kekal penting untuk mengekang penyebaran COVID di tengah-tengah mutasi virus yang berterusan.

    “Dos penggalak menguatkan sistem imun kita, memberikan perlindungan baharu terhadap virus. Ini membantu mengurangkan risiko jangkitan, mengurangkan kemungkinan penyakit teruk yang memerlukan kemasukan ke hospital dan terutamanya mengurangkan risiko akibat jangka panjang daripada COVID,” jelasnya.

    Van Kerkhove menyatakan kesan sampingan yang serius daripada vaksin dan penggalak yang berkaitan adalah sangat jarang berlaku.

    Pada 31 Disember, Timbalan Gabenor Wilayah Battambang, Soeum Bunrith berkata pihak berkuasa tempatan telah mengedarkan maklumat kepada pentadbiran perbandaran dan daerah, khususnya di daerah Samlot, Kamrieng, Phnom Proek dan Sampov Loun, yang berkongsi sempadan mereka dengan Thailand.

    Mereka mengarahkan pihak berkuasa untuk meningkatkan kesedaran penduduk mengenai perlindungan terhadap COVID dan variannya. Selain itu, pegawai mengesyorkan memakai sungkup muka dan mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan untuk perhimpunan besar, seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan. – ANN/ The Phnom Penh Post

    Vandine menyeru agar setiap individu menerima vaksin penggalak COVID secara berkala setiap lapan hingga 12 bulan.
    – ANN/The Phnom Penh Post
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda