PHNOM PENH, 26 JAN – Seekor lagi anak ikan lumba-lumba Irrawaddy Mekong dikesan di Kemboja, menjadikan jumlah kelahiran anak lumba-lumba di negara itu kepada dua setakat ini bagi tahun 2025, menurut Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan kelmarin.
Anak ikan lumba-lumba terbaru itu dilihat pada Jumaat di sebuah kolam habitat di daerah Siem Bouk, wilayah Stung Treng, timur laut negara itu, oleh pasukan penyelidik dari Pentadbiran Perikanan dan Tabung Alam Sedunia (WWF).
“Anak lumba-lumba ini dilihat berenang bersama sekumpulan lapan ekor lumba-lumba dewasa lain,” menurut kenyataan itu.
Ia adalah anak lumba-lumba kedua yang dilahirkan pada tahun 2025.
Anak ikan lumba-lumba pertama dilihat di kolam yang sama pada Khamis lalu.
Menurut kenyataan itu, pada tahun lepas, Kemboja mencatatkan sembilan kelahiran anak lumba-lumba, dengan empat kematian.
Ikan lumba-lumba Irrawaddy Mekong telah disenaraikan sebagai spesies terancam kritikal dalam Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) sejak tahun 2004.
Anggaran terkini menunjukkan terdapat 105 populasi lumba-lumba Irrawaddy yang hidup di sepanjang saluran utama Sungai Mekong sepanjang 180 kilometer di wilayah Stung Treng dan Kratie, tambah kenyataan itu. – Xinhua