Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemboja sekat import buah ke Thailand

    PHNOM PENH, 16 JUN – Bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen, hari ini telah mengeluarkan amaran kepada Thailand supaya menarik balik sekatan lintas sempadan atau berdepan tindakan larangan penuh terhadap import buah-buahan dan sayur-sayuran dari negara itu, dalam pertikaian terbaharu antara kedua-dua negara.

    Kedua-dua tentera Thailand dan Kemboja mendakwa mereka bertindak bagi mempertahankan diri.

    Dalam ucapan kepada rakyat, Hun Sen bapa kepada Perdana Menteri semasa, Hun Manet, telah mengancam akan mengharamkan sepenuhnya buah-buahan dan sayur-sayuran dari Thailand, jika sekiranya Bangkok tidak menarik balik semua sekatan sempadan dalam tempoh 24 jam.

    “Jika pihak Thailand tidak membuka sempadan seperti biasa hari ini, maka esok kita akan laksanakan larangan penuh terhadap import buah dan sayur ke Kemboja di semua kawasan sempadan,” kata Hun Sen.

    Beliau berkata Hun Manet telah pun memaklumkan langkah itu kepada rakan sejawatannya di Thailand.

    Hun Sen bercakap semasa mesyuarat di Bangunan Senat dan Perhimpunan Kebangsaan di Phnom Penh pada 2 Jun. – AFP

    Kemboja kelmarin secara rasmi memohon Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk campur tangan dalam menyelesaikan pertikaian sempadan melibatkan empat kawasan, termasuk lokasi pertempuran bulan lalu dan juga tiga kuil purba.

    Hun Sen berkata, Kemboja terpaksa merujuk kepada ICJ kerana negaranya inginkan ‘keamanan’, memandangkan kedua-dua negara tidak mungkin dapat mencapai persetujuan dalam empat kawasan tersebut.

    Beliau menegaskan Kemboja tidak akan berundur dan akan menghormati keputusan mahkamah.

    Hun Sen turut menyeru puluhan ribu migran Kemboja yang bekerja di Thailand agar pulang ke tanah air, kerana mereka berisiko berdepan diskriminasi yang semakin meningkat ekoran ketegangan sempadan.

    “Kita mesti pulang dan sekarang adalah masa yang sesuai. Pertikaian sempadan itu tidak akan selesai dengan mudah, jadi penghinaan mungkin berlaku dan kali ini lebih serius,” tambahnya.

    Kemboja sebelum ini juga pernah membawa isu pertikaian sempadan melibatkan sebuah kuil itu ke ICJ. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda