PHNOM PENH, 2 APRIL – Pihak berkuasa Kemboja telah menahan 4,485 suspek berkaitan dadah, termasuk 67 warga asing, dalam 1,868 kes sepanjang suku pertama (Q1) tahun ini, menurut laporan Jabatan Polis Antidadah, kelmarin.
Kira-kira 52 peratus daripada suspek adalah pengedar, pengeluar, pemilik dan pengangkut dadah, manakala 48 peratus adalah pengguna dadah, kata laporan itu.
“Sebanyak 240.8 kilogram (kg) dadah terlarang, 5.7kg ganja kering, dan 2,302 pokok ganja telah dirampas daripada suspek dari Januari hingga Mac 2023,” menurut laporan itu sambil menambah bahawa kira-kira 33kg bahan kimia yang digunakan untuk pembuatan dadah juga dirampas.
Pihak berkuasa juga telah merampas enam senapang buatan sendiri, 15 pistol, 42 kereta, 358 motosikal, 1,299 telefon dan 83 alat penimbang, serta wang tunai, katanya. – Xinhua