HANOI, 17 OKT – Pasukan Petugas Khas bagi Menangani Jenayah Penipuan Dalam Talian Kemboja berkata pihak berkuasa telah menahan seramai 3,455 individu sejak operasi itu bermula pada 27 Jun, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu (15 Oktober), suspek yang ditahan termasuk warganegara dari 20 buah negara, dengan serbuan menyasarkan 92 lokasi di 18 bandar dan wilayah daripada keseluruhan 25 wilayah negara itu.
Puluhan individu yang didakwa sebagai ketua sindiket telah dihadapkan ke mahkamah untuk pendakwaan, manakala kebanyakan suspek warga asing yang lain sedang dihantar pulang ke negara asal mereka.
Operasi berskala besar itu menandakan langkah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini oleh Kemboja untuk melumpuhkan rangkaian penipuan berteknologi tinggi, dengan matlamat memelihara keselamatan awam, ketenteraman dan keselamatan sosial. – Bernama


