Khamis, November 20, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemboja tetap komited terhadap perjanjian damai

    BANGKOK, 11 NOV – Tentera Thailand hari ini berkata, “permusuhan masih wujud” dengan Kemboja, sehari selepas Bangkok menggantung pelaksanaan perjanjian damai yang disokong Amerika Syarikat (AS) berikutan letupan periuk api yang mencederakan empat anggota tenteranya.
     
    Perjanjian yang diusahakan oleh Presiden AS,  Donald Trump pada Oktober lalu itu bertujuan menamatkan konflik yang memuncak dengan pertempuran selama lima hari pada Julai dan mengorbankan kira-kira 43 nyawa dan memaksa kira-kira 300,000 orang awam di kedua-dua belah sempadan berpindah.
     
    Kedua-dua pihak dalam perjanjian itu bersetuju untuk menarik balik senjata berat dari kawasan sempadan dan membenarkan pemantau gencatan senjata masuk. Thailand juga berjanji akan memulangkan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan.
     
    Kemboja berkata, keadaan di sempadan “kekal tenang”. Namun, reaksi Thailand menunjukkan ketegangan kembali memuncak selepas penggantungan pelaksanaan perjanjian tersebut.
     
    Kementerian Pertahanan Kemboja hari ini menyatakan ‘rasa kesal’ terhadap insiden terbaharu itu, namun mereka menyatakan bahan letupan tersebut merupakan peninggalan konflik lama.
     
    Kementerian itu berkata, Kemboja “tetap komited” terhadap perjanjian damai yang telah ditandatangani di Kuala Lumpur pada 26 Oktober di bawah pengawasan Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim selaku pengerusi serantau ASEAN.
     
    Penganalisis kanan Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) bagi Asia Tenggara, Matthew Wheeler berkata, adalah “sesuatu yang sudah dijangka” perjanjian itu akan gagal.
     
    Di samping itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengesahkan beliau akan menangguhkan pembebasan tahanan tentera Kemboja, iaitu elemen penting dalam pelan damai tersebut. – AFP
     
    Anutin Charnvirakul (tengah), berjalan keluar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (NSC) di Rumah Kerajaan di Bangkok pada 11 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda