PHNOM PENH, 4 NOV – Kemboja dan Thailand bersetuju untuk menarik balik tiga jenis senjata berat dari sempadan, dengan fasa pertama bermula 1 November hingga 21 November, di bawah pengawasan Pasukan Pemantau ASEAN (AOT) di kedua-dua negara.
Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) mengenai penarikan senjata berat dan senjata pemusnah antara Wilayah Tentera ke-4 Kemboja dan Kawasan Tentera ke-2 Thailand telah diadakan pada 31 Oktober lalu, di wilayah Oddar Meanchey, Kemboja.
Mesyuarat itu telah diketuai bersama oleh Leftenan Jeneral Pov Heng, komander Wilayah Tentera 4 Kemboja dan komander Kawasan Tentera Kedua Thailand, Leftenan Jeneral Weerayuth Raksilp.
Mesyuarat tersebut diadakan bertujuan untuk membina keyakinan untuk memperkukuh kepercayaan dan kestabilan di sempadan Kemboja-Thailand.
Menurut kenyataan media, senjata berat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu jenis A yang merujuk kepada multiple launch rocket systems (MLRS) dengan dua atau lebih tiub pelancar. Manakala yang kedua ialah jenis B yang merujuk kepada senjata artileri, termasuk sistem artileri ditunda dan bergerak sendiri seperti howitzer 105mm, 122mm, 130mm, 152mm dan 155mm dan terakhir adalah jenis C yang merangkumi platform berperisai, khususnya tank pertempuran utama (MBTs).
Kenyataan itu menyebut, kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan pengunduran secara berperingkat untuk ketiga-tiga kategori senjata itu di bawah pemerhatian dan pengesahan AOT, selaras dengan pelan tindakan yang dipersetujui. – ANN/The Phnom Penh Post


