Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemboja, WHO janji tingkat kerjasama kesihatan awam

    PHNOM PENH, 23 JUN – Kemboja dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berjanji untuk mempertingkatkan lagi kerjasama dalam kesihatan awam, kata Kementerian Luar Kemboja dalam satu kenyataan akhbar hari ini, lapor Xinhua.

    Komitmen itu dibuat semasa mesyuarat antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Kemboja, Sok Chenda Sophea dan Pengarah Serantau WHO bagi Pasifik Barat, Saia Ma’u Piukala, di sini Jumaat lalu.

    Chenda Sophea memuji usaha WHO untuk memajukan kesihatan global dan menyatakan penghargaan mendalam atas sokongan dan sumbangan berterusan kepada kesihatan awam Kemboja, menurut kenyataan itu.

    Beliau berkata tumpuan Kemboja adalah untuk memperbaiki sistem perlindungan kesihatan sosial, memperkukuhkan kapasiti perkhidmatan perubatan utama di pusat kesihatan dan hospital rujukan daerah serta meningkatkan kualiti perkhidmatan, katanya.

    “Dalam hubungan ini, beliau menyatakan komitmen Kemboja untuk terus mempertingkatkan kerjasama dengan WHO bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Kemboja,” kata kementerian itu.

    Piukala pula berkata beliau berharap dapat meneruskan kerjasama yang kukuh, sambil menegaskan bahawa WHO bersedia memberikan sokongan kepada Kemboja berdasarkan keperluan dan konteks negara ini, menurut kementerian itu.

    Piukala juga memaklumkan Chenda Sophea mengenai kemajuan Strategi Kerjasama Negara Kemboja-WHO 2024-2028, yang kini berada di peringkat akhir draf. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 9 November 2022 menunjukkan seorang kakitangan kesihatan sedang merawat pesakit. Kemboja dan WHO berjanji untuk mempertingkatkan lagi kerjasama dalam kesihatan awam. – Gambar fail Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda