Kemelesetan ekonomi suku kedua Singapura lebih teruk

SINGAPURA, 11 OGOS – Ekonomi Singapura yang kini berdepan dengan ancaman koronavirus mencatatkan kemerosotan hampir 43 peratus pada suku kedua, yang menandakan kemelesetan kali pertama paling teruk sejak lebih dari satu dekad dalam perkiraan awal, data rasmi menunjukkan hari ini.

Usaha pengekangan virus yang sukar di ibu negara itu untuk memerangi pandemik telah mempengaruhi ekonomi yang sangat bergantung pada perdagangan global dan pelancongan.

Produk domestik kasar turun 42.9 peratus dalam tiga bulan hingga Jun dari suku sebelumnya, lebih buruk daripada anggaran awal kerajaan terhadap penguncupan 41.2 peratus yang dikeluarkan bulan lalu berdasarkan data dua bulan, kata kementerian perdagangan.

Pada tahun ini, ekonomi menyusut 13.2 peratus pada April-Jun, lebih tinggi daripada anggaran awal sebanyak 12.6 peratus.

Ini menandakan penguncupan suku kedua berturut-turut, yang bermaksud negara kota singa ini telah memasuki kemelesetan untuk pertama kalinya sejak 2009, ketika dilanda krisis kewangan global.

Singapura yang bergantung pada perdagangan adalah salah sebuah negara pertama yang melaporkan data pertumbuhan dalam satu tempoh ketika kebanyakan negara mula mengenakan sekatan pergerakan, dan memberikan amaran tegas mengenai kemelesetan ekonomi global.

Anggaran kemelesetan ekonomi yang diramalkan lebih teruk itu akan turut menjejaskan ekonomi Asia lainnya khususnya negara yang bergantung kepada perdagangan, di mana pada dasarnya, Singapura merupakan negara yang paling terkesan sebelum ianya menjejaskan negara-negara lain di Asia.

Untuk tahun penuh, kerajaan mengatakan mereka menjangkakan ekonomi akan berkurang antara lima dan tujuh peratus, berbanding dengan ramalan sebelumnya antara empat dan tujuh peratus.

“Kebanyakan pasaran di Singapura menyaksikan kemerosotan ekonomi yang lebih buruk daripada yang diramalkan pada suku kedua,” kata kementerian perdagangan dalam satu kenyataan. – AFP

Seorang lelaki dilihat bersenam di sepanjang koridor sungai Singapura dengan berlatar belakangkan kawasan perniagaan kewangan, di Singapura kelmarin. Ekonomi Singapura yang kini berdepan dengan ancaman koronavirus mencatatkan kemelesetan paling teruk kali pertama sejak lebih dari satu dekad dalam perkiraan awal. – AFP