ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
NOVEL Small Admissions adalah sebuah karya debut yang lucu mengenai Kate, seorang wanita muda yang tanpa disangka terhumban ke dunia yang penuh kemelut di sebuah sekolah swasta di bandaraya New York ketika dia baru sahaja belajar untuk memahami kehidupan di bandar, hati budi orang-orang dan jatuh cinta.
Meskipun mempunyai otak yang pintar dan cita-citanya sendiri, Kate telah menjadi seorang yang pemalas. Setelah ditinggalkan oleh jejaka kacak Perancis yang hampir menjadi tunangannya, Kate telah mengabaikan segala perancangan setelah pengajiannya, bahkan dia sering menghabiskan masa di atas sofa sambil menonton rancangan kegemarannya berulang kali, dan jarang sekali keluar dari rumah.
Rakan-rakannya tidak tahu apa yang harus mereka lakukan selain daripada berharap Kate akan bangkit semula seperti sedia kala. Manakala Angela pula mencuba sedaya upayanya untuk membantu, daripada kelas trapez, terapi sehinggalah ke temu duga pekerjaan.
Ajaibnya, Kate telah berjaya mendapat pekerjaan di bahagian pendaftaran di sebuah sekolah yang berprestij, Hudson Day School.

Melalui jawatan terbarunya itu, Kate menyedari bahawa tidak ada masa baginya untuk bersedih dan berfikir bukan-bukan ketika musim pendaftaran pelajar baru, atau apa yang rakan-rakan sejawatannya gelar sebagai ‘masa kegelapan’.
Dengan kesibukan tugasan yang memuncak, Kate telah bertemu dengan pelbagai jenis kanak-kanak, ada yang pintar tapi menjengkelkan, comel tetapi kurang bijak dan para ibu bapa yang enggan menerima tidak sebagai jawapan.
Manakala Angela dan rakan-rakan rapatnyanya pula telah mendapati bahawa mereka menyimpan banyak rahsia, menyembunyikan kekasih mereka dan bertelagah antara satu sama lain dalam usaha mereka membantu Kate berdiri di kaki sendiri. Tambahan lagi, jirannya yang pemarah namun menarik perhatian dan berwajah tampan adalah lebih daripada apa yang mereka sangkakan.
Dipenuhi dengan kisah-kisah menarik dan twist jangan lupa untuk mendapatkan novel Small Admissions karya Amy Poeppel segera.